fbpx

RM2.4 Bilion Diperuntukkan Untuk Program Subsidi Upah 2.0

Kerajaan akan memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu syarikat yang masih terjejas berikutan penularan COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaksanaan program terbabit dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja dan membabitkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.

“Ciri utama program ini ialah pertama, subsidi upah diberi kepada majikan yang masih terjejas iaitu syarikat yang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lalu.

“Kedua, subsidi upah diberi hingga tiga bulan kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja hingga maksimum 200 pekerja dan ketiga, permohonan dibuka bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2020,” katanya katanya dalam Perutusan Khas Kita PRIHATIN.

Muhyiddin berkata, beliau juga menerima pelbagai maklum balas berhubung Program Subsidi Upah antaranya daripada mereka yang tidak layak menerima program berkenaan kerana tidak menepati syarat kelayakan berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum 1 April lalu.

Bagi memastikan golongan terbabit tidak ketinggalan, katanya, Program Subsidi Upah 2.0 akan dibuka untuk syarikat yang berdaftar dengan PERKESO hingga 31 Ogos lalu.

“Bagi permohonan baharu yang tidak pernah menerima bantuan di bawah Program Subsidi Upah, mereka akan layak menerima subsidi upah sehingga enam bulan,” katanya.