fbpx

Risteena, Isa Khan Rancang Nikah Hujung Tahun Ini

Sering berkongsikan momen bahagia di media sosial, ramai yang tertanya bilakah pasangan ini akan berumah tangga. Segalanya terjawab apabila Isa Khan dan tunangnya, Nur Risteena rancang untuk menamatkan zaman bujang hujung tahun ini.

Merancang untuk mengadakan bernikah pada November atau Disember ini, bagaimanapun, perancangan mereka itu bergantung kepada situasi semasa sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berterusan.

BACA: Risteena, Isa Khan Umum Kahwin Tahun Ini

“Kami merancang mengadakan majlis pernikahan sekitar November atau Disember ini. Rancangan ini sudah ditetapkan ketika majlis pertunangan lagi. Kami rancang bertunang hanya setahun, tak mahu tunang lama-lama.

“Bagaimanapun, disebabkan PKPP masih berterusan dan tidak diketahui berlanjutan hingga bila, jadi kami masih belum menetapkan tarikh yang sesuai,” katanya kepada BH Online.

Isa yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2016 itu berkata, dia ada terfikir untuk melangsungkan majlis pernikahan terlebih dahulu, kemudiannya barulah majlis resepsi diadakan pada tarikh bersesuaian.

“Besar harapan saya dapat mengadakan majlis pernikahan dan persandingan serentak. Bagaimanapun, disebabkan COVID-19 belum berakhir, terfikir juga mahu bernikah dahulu dan majlis persandingan diadakan tahun hadapan.

“Bagaimanapun, semuanya masih belum ditetapkan lagi. Kami kena berbincang dengan keluarga dan melihat situasi semasa,” katanya.

Isa mengikat tali pertunangan dengan Nur Risteena pada 23 November tahun lalu di Bali, Indonesia selepas lima bulan berkenalan.