fbpx

Respek, Relaks, Respon (3R) Gandingkan Muka Baharu

Program 3R (Respek, Relaks, Respon) kini menampilkan tiga muka baharu iaitu Dayah, Amirah, Yvonne sebagai pengacara yang telah dipilih menerusi program realiti Projek 3R.

3R yang direhatkan hampir 4 tahun itu akhirnya kembali dengan kupasan isu-isu semasa melibatkan remaja wanita dan antaranya ialah ‘Perempuan Bukan Jadi Bodoh’ yang merupakan isu kegemaran bagi ketiga-tiga hos baharu itu.

Turut sama hadir pada majlis pelancaran adalah Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3, Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri yang berkata “TV3 sentiasa berusaha untuk menyajikan program TV yang terbaik untuk para penonton. Program 3R sentiasa memberikan suntikan baru kepada kaum wanita khususnya remaja dalam berkongsi pelbagai isu yang relevan dan menarik minat mereka”, ujarnya yang ditemui di Sri Pentas, semalam.

Sebelum ini, program 3R menjadi kegemaran remaja di dalam mendapatkan jawapan bagi perkara-perkara yang melibatkan masalah wanita khasnya berkenaan isu ‘lelaki’.

Turut sama hadir adalah penerbit Datin Paduka Marina Mahathir dan Lina Tan.

Tidak dapat lari dari dibandingkan dengan bekas pengacara 3R sebelum ini Amirah atau nama sebenar (Siti Nor Amirah Mohammad Azmi), 22, graduan Ijazah Perakaunan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) memberitahu personaliti berbeza yang ada pada mereka antara kelebihan untuk menjadikan program itu lebih mengujakan.

“Sebagai muka baru, perbandingan itu sudah pasti namun apa yang kami ada adalah personaliti yang berbeza dimana ianya dapat memberikan kelainan pada musim baru rancangan 3R ini.”

Tambah pengacara yang manis bertudung Dayah Bakar (Nur Hidayah Abu Bakar), 24, Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sebelum ini mempunyai pengalaman di dalam bidang pengacaraan turut memberitahu bahawa isu yang dikupas sangat sesuai dan dia yang meminati program itu sejak remaja lagi begitu teruja dan berharap dapat meneruskan legasi sebagai pengacara 3R untuk musim yang seterusnya.

Pada mereka yang tidak sabar menantikan 3R generasi baru episod pertama boleh ramai- ramai menyaksikan program tersebut yang memaparkan aktiviti menarik bermula 20 Oktober ini yang akan disiarkan setiap hari Ahad pada jam 7.30 malam.