fbpx

“Rehatkan Ustaz Don Satu Kerugian” 

Pendakwah bebas, Ustaz  Kazim Elias menganggap tindakan merehatkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid daripada muncul di kaca televisyen sebagai satu kerugian besar.

Memetik BH Online, Ustaz Kazim berkata Ustaz Don berjaya menarik minat orang ramai terutama golongan muda untuk lebih mendekati agama melalui ceramahnya.

BACA: “Sesetengah Orang Kata Hadis Tak Sahih, Terpulanglah” – Ustaz Don

“Ustaz Don adalah anak murid saya sebelum ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Dia seorang pendakwah yang mempunyai cara penyampaian mudah difahami. Anak-anak muda boleh ikut dengan bahasa sopan-santun dan lemah lembutnya. Dia berjaya menarik minat ramai orang.

“Bagi saya, perkara ini sebagai satu kerugian besar sekiranya Ustaz Don tidak lagi boleh bercakap menerusi saluran media utama. Memang ada media sosial, tapi orang tetap hendak lihat di saluran media utama seperti TV, radio dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Kazim beranggapan perkara menimpa Ustaz Don adalah asam garam yang perlu dilalui sebagai pendakwah. Malah, dia juga pernah digam daripada memberikan ceramah satu ketika dahulu.

“Mungkin ada penjernihan yang perlu dibuat oleh Ustaz Don. Ketika ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah memanggilnya dan Mufti Wilayah Persekutuan juga ada berikan kenyataan.

“Saya juga pernah kena ‘gam’. Namun, saya hormat keputusan itu dan harus perbetulkan semula kesilapan saya. Saya percaya, bila kita buat yang terbaik, saluran seperti TV dan radio akan panggil semula. Begitu juga dengan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, RTM telah mengambil keputusan untuk ‘merehatkan’ Ustaz Don daripada mengendalikan program Salam Baitullah. Ia susulan kontroversi berkenaan kenyataannya berhubung kisah hidup Nabi Muhammad.

Ketika bersiaran di sebuah stesen radio, Ustaz Don mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan cinta pertama Rasulullah.

SUMBER: BH Online