Recap: Jom Gegar Labuan – Acara Gempak Yang Tinggalkan Vibe Positif!

Sebut je Labuan, mesti ada yang terfikir tentang pulau indah dengan pantai yang memukau dan suasana santai. Tapi, siapa sangka, Labuan menjadi tumpuan ramai dengan adanya Program Jom Gegar Labuan yang diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan pada November lalu. Lebih 5,000 orang datang untuk memeriahkan acara yang penuh dengan aktiviti menarik ni.

Dari aktiviti sukan rakyat seperti Kayuhan Ria, Larian Ria, sampai lah ke aktiviti Langkahan Ria, semuanya diatur untuk pastikan peserta dapat bersenam sambil bersuka ria. Tapi, selain berlari dan berkayuh, ada banyak lagi yang menarik, tau!

Apa Lagi Yang Ada?

Yang paling menarik, Kementerian Pengangkutan turut mengambil bahagian dalam acara ni dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai. Dari pertukaran topi keledar (macam penting je, kan?) sampai lah ke pendaftaran aplikasi MyJPJ untuk kemudahan urusan harian.

Tak cukup dengan tu, ada juga sukan dan rekreasi, karnival kerjaya, dan tak lupa juga kaunter pemeriksaan kesihatan. Semuanya ada dalam satu tempat dan kawasan yang meriah penuh dengan peluang dan manfaat!

27 Jam Penuh Bermakna

Apa yang buatkan program ni lebih menarik adalah kehadiran YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan kita, yang turut turun padang bersama-sama dengan peserta. Lebih 3,000 orang yang terlibat dalam Larian dan Sukan Perpaduan, yang menunjukkan betapa besarnya impak program ni.

Selain itu, YB Hannah juga berkesempatan berjumpa dengan pemegang taruh tempatan seperti Majlis Belia Labuan dan Persatuan Sukan Labuan. Selain beramah mesra dengan mereka, YB juga sempat meninjau projek menaik taraf di Kompleks Belia dan Sukan Labuan. Jadi, jangan terkejut kalau nanti Labuan akan ada lebih banyak kemudahan dan infrastruktur sukan yang lebih lengkap!

Tapi ada satu lagi perkara yang tak boleh dilupakan di mana Perdana Menteri kita sendiri pun ada bagi nasihat supaya semua Menteri harus datang melawat Labuan. Jadi, nampaknya Labuan bakal jadi lebih happening dengan sokongan penuh dari pihak kerajaan!

Kisah Inspirasi: Jambul, Si Nelayan Jadi Atlet Para Powerlifting

Bila kita sebut tentang program ni, tak lengkap kalau tak ceritakan kisah inspirasi tentang seorang atlet yang dikenali sebagai Jambul. Siapa Jambul ni? Kalau korang masih ingat, Jambul ni adalah atlet para powerlifting yang berjaya meraih pingat gangsa di Para SUKMA XXI Sarawak baru-baru ni.

Apa yang lebih mengagumkan adalah latar belakang Jambul. Beliau ni sebenarnya seorang nelayan. Yelah, walaupun sibuk dengan kehidupan sebagai nelayan, Jambul tetap luangkan masa untuk latihan. Kekuatan semangatnya untuk berjaya ni betul-betul buat kita semua rasa terinspirasi.

Kalau korang nak tahu, semasa YB Hannah Yeoh berjumpa dengan Jambul di SUKMA Sarawak, beliau berjanji akan datang melawat Jambul kalau ke Labuan dan akhirnya, janji tu ditunaikan!

Kisah Jambul ni betul-betul mengingatkan kita bahawa tiada halangan untuk berjaya. Walaupun kehidupan kita mungkin jauh dari dunia sukan profesional, semangat dan usaha tu yang penting. Semua orang boleh jadi pahlawan dalam bidang masing-masing!

Secara keseluruhannya, Jom Gegar Labuan ni bukan sekadar satu acara sukan, tetapi lebih daripada itu dan ini juga merupakan satu platform untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat dan kerajaan. Dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengangkutan, Labuan kini sedang menuju ke arah pembangunan yang lebih baik.

×