Rangka Kerja Pengekalan Data Keperluan Mendesak Era Digital

Cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menubuhkan rangka kerja pengekalan, pemeliharaan dan pendedahan data disifatkan sebagai langkah tepat pada masanya dalam era digital.

Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, perkara itu semakin diperlukan bagi melengkapkan agensi penguatkuasaan undang-undang dengan alat untuk menangani jenayah berasaskan siber.

Beliau bagaimanapun menegaskan, ia mesti memberi tumpuan kepada pelindungan privasi pengguna dan sempadan undang-undang yang jelas.

“Cadangan MCMC untuk menubuhkan rangka kerja sedemikian adalah langkah tepat pada masanya dalam era digital.

“Seiring perkembangan pesat teknologi, langkah seperti ini semakin diperlukan bagi membekalkan agensi penguatkuasaan undang-undang dengan alat untuk menangani jenayah berasaskan siber, dengan syarat ia dilaksanakan bersama perlindungan privasi yang kuat dan sempadan undang-undang yang jelas,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr. Haezreena, akses tepat pada masanya kepada metadata komunikasi seperti rekod panggilan, alamat IP dan data geolokasi adalah penting dalam menangani jenayah serius termasuk penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.

Jelas beliau, dari sudut undang-undang, akses sedemikian memastikan bukti diperoleh secara sah, dipelihara dan boleh diterima di mahkamah di samping memenuhi keperluan proses sewajarnya serta membolehkan siasatan segera dilakukan sebelum data penting hilang.

“Dari sudut kriminologi, akses cepat menyokong pengenalpastian suspek, penggagalan rangkaian jenayah dan perlindungan mangsa,” katanya.

Rangka kerja pengekalan, pemeliharaan dan pendedahan data mesti utamakan privasi pengguna

Beliau menegaskan satu rangka kerja standard merentasi semua penyedia perkhidmatan diperlukan untuk mengatasi ketidakselarasan sedia ada, menutup jurang keterangan dan memastikan semua penyedia beroperasi di bawah kewajipan serta perlindungan undang-undang yang sama.

Mengambil contoh antarabangsa, Dr. Haezreena berkata Australia pada 2015 mewajibkan pengekalan metadata tertentu selama dua tahun melalui Akta Pindaan (Intersepsi Telekomunikasi dan Akses) (Retensi Data).

“Menurut agensi penguatkuasaan (Australia), undang-undang itu adalah penting dalam menyelesaikan kes jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan,” katanya.

Ketiadaan rangka kerja konsisten atau mandatori di Malaysia pula katanya, berisiko menjejaskan keselamatan awam.

“Dari sudut undang-undang, ia boleh menyebabkan penyedia perkhidmatan memadam bukti penting sebelum akses sah dapat dilakukan, sekali gus melemahkan pendakwaan.

“Dari sudut kriminologi, pengekalan data yang tidak konsisten melambatkan siasatan, menunda pengenalpastian suspek dan memberi peluang kepada pesalah untuk mengeksploitasi jurang polisi,” katanya.

Mengenai kebimbangan privasi, Dr. Haezreena berkata ia wajar tetapi boleh ditangani melalui mekanisme jelas seperti pengawasan kehakiman, akses terhad dan audit bebas.

“Metadata bukanlah kandungan komunikasi dan dengan kawalan ketat ia mampu mengekalkan nilai penyiasatan sambil melindungi privasi orang ramai,” katanya.

Beliau menambah, penentangan terhadap cadangan MCMC itu lazimnya berpunca daripada salah faham atau ketidakpercayaan terhadap kerajaan.

“Oleh itu, pihak berkuasa perlu menjelaskan skop serta had rangka kerja tersebut secara telus. Penglibatan masyarakat sivil, penggiat teknologi dan pertubuhan hak privasi dalam rundingan terbuka akan mengukuhkan keyakinan rakyat,” jelasnya.

Katanya lagi, kerangka pengekalan data bukan semata-mata soal penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga mengenai menjaga keseimbangan antara keselamatan awam dengan hak asasi.

“Saya menggalakkan orang ramai untuk turut serta dalam rundingan awam yang sedang dijalankan MCMC supaya pelbagai pandangan dapat dipertimbangkan, kebimbangan yang sah dapat ditangani dan penambahbaikan terhadap rangka kerja ini boleh dilakukan jika perlu,” katanya.

×