fbpx

Ramli Sarip Anjurkan Konsert Kutip Dana Bantu Mangsa Banjir

Meneruskan usaha untuk membantu mangsa-mangsa di kawasan yang dilanda banjir, Datuk Ramli Sarip dan rakannya seperti Dato‘ M. Nasir, Dato‘ Hattan, Awie dan Ella akan menjayakan konsert amal dengan kerjasama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dan Kumpulan AmBank sebagai penaja utama konsert tersebut.

Menceritakan detik-detik pengalaman beliau semasa mengikuti rombongan Kumpulan AmBank ke Kuala Krai baru-baru ini cukup menyayat hati dan disebabkan itulah beliau terpanggil untuk membuat konsert amal ini bersama rakan-rakan artis yang lain.

Objektif utamanya ialah untuk meningkatkan lebih banyak dana untuk rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. Apa yang membuatkan beliau berasa gembira juga apabila kesemua artis yang dipanggil untuk menjayakan konsert tidak bertanyakan berapa harga yang akan mereka perolehi selepas konsert tetapi niat mereka yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir.

“Alhamdulillah saya dapat gabungkan mereka semua yang tak memikirkan berapa kau nak bayar aku. Mereka semua senang untuk memberikan persetujuan apabila mahu menjayakan konsert ini. Konsert ini juga digantikan dengan konsert ambang tahun baru,” katanya.

Sementara itu, pada hari kemuncak konsert yang akan berlangsung pada 22 Februari ini, beberapa lukisan juga akan turut dilelong oleh artis-artis yang menjayakan persembahan pada hari tersebut.

“Sebanyak 2 atau 3 lukisan akan dilelong pada hari konsert dan wang yang diperolehi pada hari itu akan disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir,” tambahnya lagi.

Bagi anda yang ingin menyaksikan Konsert Doa Langit dan Bumi dan ingin membantu mangsa-mangsa banjir bolehlah memeriahkan konsert pada 22 Februari 2015 ini bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jam 2.30 petang. Tiket berharga RM153.00 boleh didapati di www.ilassotickets.com atau hotline 0379576088. (rtky/m)