fbpx

Ramli MS & Alyah Bakal Anjur Resepsi September Ini

Minggu lalu ramai yang terkejut dengan berita pernikahan Datuk Ramli MS dan Alyah yang disorok dari pengetahuan umum selama lebih setahun dan hanya diketahui ramai selepas satu serbuan pihak JAIS ke kediaman komposer dan konduktor muzik terkenal itu.

BACA: Pegawai JAIS Serbu Kediaman, Ramli MS & Alyah Mengaku Sudah Bernikah

Menerusi laporan terbaru Kosmo!, Datuk Ramli MS mengesahkan yang beliau akan mengadakan sebuah majlis ringkas bagi meraikan pernikahannya dengan Alyah pada hujung September ini.

Menurutnya lagi, beliau tidak pernah berhasrat untuk menyembunyikan pernikahannya dengan penyanyi yang berasal dari Johor Bahru itu tetapi hanya menunggu satu waktu yang sesuai untuk menghebahkan berita baik itu kepada semua.

“Saya tidak pernah berhasrat berbohong atau menafikan pernikahan kami, sebaliknya saya mengambil pendekatan tidak menjawab persoalan itu apabila diajukan tentang isu peribadi kerana ia pendirian saya sejak dahulu lagi”

“Sebagai lelaki yang telah berusia, saya mahu mengumumkannya dalam keadaan yang jelas selepas kediaman saya siap dan kami rasmi berpindah masuk ke sini”

BACA: Ramli MS Persoal Kenapa Semua Pihak Sibuk Akan Hal Peribadi Beliau

“Bagaimanapun, apabila ada pihak yang terlalu kepoh dan tidak sabar, maka majlis sederhana itu saya tunda dan hanya akan dihadiri oleh sahabat rapat sahaja,” jelasnya.

Sekali lagi diasak soalan kenapa mahu sembunyikan berita pernikahan mereka dari pengetahuan ramai, Ramli MS menegaskan beliau mempunyai alasan tersendiri yang bersifat peribadi sehingga terpaksa menyimpan kisah rumah tangganya daripada umum. (rtky/m)