Mula rapat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelakon Raja Afiq mengakui dirinya kini sedang mengenali hati budi seorang anggota polis yang pernah tular memiliki suara merdu iaitu Soffwany Yusoff.
Menurut Afiq, dia sudah lama mengenali Soffwany di media sosial, namun mula rapat di awal PKP. Afiq berkata, melihat wanita itu bertugas sebagai petugas barisan hadapan, dia terpanggil untuk menghantar mesej tanda penghargaan.
BACA: Angkara Fitnah, 6 Bulan Raja Afiq Tak Berlakon
“Kami sudah lama kenal, tapi hubungan semakin rapat sejak di awal PKP dilaksanakan. Ketika itu, banyak cerita berkaitan petugas barisan hadapan yang bertugas tanpa mengira masa demi kesejahteraan negara di media sosial.
“Soffwany antara petugas barisan hadapan yang sering memuat naik hantaran berkaitan pandemik Covid-19. Secara tidak langsung saya terpanggil untuk menghantar mesej peribadi (DM) kepadanya di Instagram agar dia menjaga kesihatan dan berterima kasih kerana bersusah payah menjaga keamanan negara.
“Tidak lama selepas itu, dia membalas mesej saya dan kami mula bertukar nombor telefon dan berkenalan dengan lebih rapat sehingga sekarang,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Afiq mengakui dia berharap agar hubungan yang baru berputik itu berjalan lancar dan melangkah ke fasa seterusnya. Ujarnya meskipun jadual kerja bercanggah namun mereka sentiasa saling memahami.
“Setakat ini, hubungan kami berjalan dengan baik. Walaupun jadual kerja kami tidak menentu tapi kami cuba saling memahami antara satu sama lain.
“Perancangan untuk membawa hubungan ini ke fasa serius sudah tentu ada kalau sudah tertulis dia jodoh saya. Kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan tentukan. Doakan semoga semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Soffwany yang juga artis rakaman Suria Records sebelum ini pernah tular menjadi tular selepas mendendangkan lagu raya berjudul ‘Pulanglah’.