fbpx

Radhi OAG Tak Ingat Lafaz Cerai Terhadap Isteri

Beberapa hari lalu, vokalis kumpulan OAG, Radhi mengakui telah melafazkan talak satu kepada isterinya, Shahira Ayu pada 25 Mac lalu. Namun, Radhi mahu merujuk kembali dengan bekas isterinya itu.

Bagaimanapun, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling semalam, Radhi mengakui tidak mengingati lafaz cerai yang didakwa dilakukan terhadap isterinya.

BACA: Isteri Sahkan Radhi OAG Sudah Lafazkan Cerai Mac Lalu

Sehubungan itu, Hakim Syarie Husaini memrintahkan Radhi untuk membuat sumpah nafi selepas penyanyi itu memberi alasan tidak mengingati lafaz cerai yang dibuatnya.

Jelasnya lagi, dia juga tidak pasti sama ada dia menyebut perkataan ‘lepaskan’ atau ‘ceraikan’.

“Sumpah saya tak ingat. Masa tu saya tak tidur dua hari jadi emosi saya tak stabil. Saya marah sangat, tumbuk pintu sampai pecah.

“Saya marah sebab dia (Ayu) susah hendak pulang ke rumah kami kerana dia balik ke rumah keluarganya. Saya tak tidur risau pasal dia, apa dia buat,” kata Radhi.

Ketika prosiding, Shahira Ayu menegaskan bahawa dia mendengar sendiri lafaz cerai yang dibuat Radhi kira-kira pukul 4.20 pagi, pada 25 Mac lalu.

Ayu turut memberitahu mahkamah bahawa lafaz cerai yang dilakukan berikutan berlaku pertengkaran mulut antara mereka kerana salah faham.

Selepas mendengar keterangan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan semula permohonan lafaz cerai termasuk Radhi perlu melakukan sumpah nafi terhadap lafaz cerai itu.

“Sumpah nafi ini penting kerana kesannya adalah besar di dunia dan akhirat, jadi mahkamah memberi ruang untuk kamu (Radhi) mengenai lafaz yang telah dibuat,” kata Hakim Husaini.

Terdahulu, Ayu mengakui hubungan rumah tangga yang dibina sejak lima tahun lalu bermasalah dan mereka kini tinggal berasingan sejak 25 Mac lalu.