fbpx

Radhi OAG Merayu Bekas Isteri Tarik Balik Tuduhan Pukul

Penyanyi Radhi OAG merayu bekas isterinya, Nur Shahira Ayu supaya menggugurkan dakwaan dia mencederakan dan memukul wanita itu pada April lalu.

Memetik Harian Metro, Radhi berkata dia berharap kes tersebut dapat diselesaikan secara baik demi anak-anak mereka yang semakin membesar.

BACA: Radhi OAG Kecewa Tawaran Persembahan Tiba-Tiba Dibatalkan

“Saya nak perkara diselesaikan secara baik dan benar. Saya akan bercakap benar dan berharap dia juga membuat perkara sama. Sebelum ini saya ada cuba minta pertolongan ibunya meminta Ayu tarik balik kes ini supaya tidak membuang masa dan duit. Saya juga bimbang akan memberi kesan kepada anak-anak yang semakin membesar.

“Saya terpaksa minta pertolongan ibunya sebab mahkamah perintahkan saya tidak mengganggu bekas isteri. Disebabkan saya baik dengan ibunya dan sudah anggap seperti ibu saya jadi saya minta bantuannya.

“Kalau boleh saya nak kes ini henti sampai di sini dan tak nak memperbesarkan isu ini. Saya bimbang kalau perkara ini berpanjangan akan ada cerita lain yang keluar dan tak habis.

“Jadi saya merayu agar dia tarik balik kes ini kerana saya tak nak membuka aib dan memalukan diri sendiri,” katanya.

Menurut Radhi lagi, meskipun kes tersebut memberi kesan kepada dirinya, namun dia enggan peduli dengan segala tuduhan dilemparkan orang luar.

“Tak kisahlah orang nak kata saya pukul atau tidak, masing-masing ada hak. Saya cuma harap dia tarik kes ini supaya kami tidak turun naik mahkamah dan rasanya itu lebih baik. Lagipun saya boleh tumpukan kepada anak-anak. Mereka lebih memerlukan kami sekarang ini.

“Setiap kata-kata yang dilemparkan pihak luar juga saya anggap sebagai satu teguran. Walaupun sakit untuk dibaca tapi saya laluinya dengan positif.

“Saya enggan melayan emosi apabila ada yang kata saya naik tangan dan memukul. Saya anggap orang luar prihatin dan ambil peduli terhadap saya. Lagipun saya saja yang tahu apa yang berlaku di sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, Radhi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya pada April lalu.

Radhi dan Ayu mendirikan rumah tangga pada April 2014 dan disahkan bercerai pada 16 Julai 2019 selepas penyanyi itu melafazkan talak pada 25 Mac 2019. Pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata berusia enam dan tujuh tahun.