fbpx

Putus Dengan Kekasih, Ismail Izzani Buang Cincin Berlian Dalam Sungai

Selepas dua tahun menjalin hubungan cinta, penyanyi Ismail Izzani mengaku sudah putus dengan kekasihnya, penyanyi Shalma Eliana.

Menerusi temubual Melodi semalam, penyanyi berusia 21 tahun itu berkata bagaimanapun dia dan bekas kekasih masih berkawan baik dan memilih meneruskan perjalanan hidup masing-masing.

BACA: 2 Tahun Bercinta, Shalma Eliana Bahagia Dengan Ismail Izzani

“Ya betul (dah putus) tapi dalam masa sama kami memilih jalan tersendiri sebab saya pun banyak lagi perkara nak explore & experience. Sama juga seperti Yana (Eliana), kami masih berkawan.

“Berkenaan (isu curang) sebelum ni, boleh katakan saya melakukan kesilapan. Tapi sekarang saya nak fokuskan pada diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling yang memberikan perkara positif,” katanya.

Ditanya mengenai cincin berlian yang pernah dihadiahkan kepada Eliana, Ismail berkata bekas kekasih meminta untuk membuang cincin berkenaan ke dalam sungai.

“Sebelum ini saya dan Eliana ada berkhemah dengan beberapa orang kawan. Semasa kami di sungai, saya cakap dengan Eliana, apa kata kita buang je cincin ini. Ini adalah momennya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata dia mengakui masih menyayangi Eliana namun hanya akan kembali bercinta jika dirinya sudah bersedia.

“Saya sangat menyayangi dia, Eliana bermakna dalam kehidupan saya. Dia mengubah diri saya kepada seseorang yang tak pernah ada di posisi itu sebelum ni.

“Jika kembali bercinta, bukan sekarang. Selagi belum bersedia, saya takkan kembali kepada dia. Saya letih membuktikan saya layak dan penat dah untuk sakitkan hati sesiapa. InsyaAllah kalau dah bersedia, saya akan cintakan dia,” ujarnya.