fbpx

Puteri Aishah Trauma Untuk Teruskan Penggambaran

Berdepan pengalaman menakutkan apabila pernah dijangkiti COVID-19, Puteri Aishah mengakui dirinya takut untuk untuk meneruskan penggambaran memandangkan wabak itu masih belum pulih sepenuhnya.

Ujarnya lagi, keputusan membenarkan kerja penggambaran disambung selepas Hari Raya membuat dia bimbang dan skeptikal terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) syarikat produksi.

BACA: Puteri Aishah Menggeletar Disahkan Bebas COVID-19

“Sebagai seorang yang pernah disahkan positif COVID-19, keputusan kerajaan membenarkan kerja penggambaran disambung sangat merisaukan dan mendatangkan trauma buat Puteri.

“Sejujurnya, Puteri masih belum rasa selamat untuk pergi ke mana-mana kerana pandemik ini masih berleluasa. Kita masih belum menang sebenarnya. Walaupun kebenaran sudah diberi, bolehkah semua orang ikut peraturan ditetapkan?

“Sedangkan, kawasan larangan merokok pun masih ada yang langgar peraturan. Inikan pula rutin normal baharu yang semua orang masih lagi kabur mengenainya,” katanya kepada BH Online.

Ujarnya lagi, dia juga trauma untuk menjalani penggambaran di luar negara. Bagaimanapun, dia akan mempertimbangkan tawaran jika syarikat produksi memberi jaminan akan mematuhi langkah SOP yang telah ditetapkan.

“Kalau difikirkan, memang runsing hendak meneruskan penggambaran. Lagipun lokasi penggambaran drama yang tertangguh itu jauh di luar negara.

“Dengan keadaan sekarang dan pengalaman yang dilalui, Puteri trauma untuk menjalani penggambaran di luar negara.

“Seboleh mungkin Puteri tidak mahu susahkan sesiapa, tetapi Puteri kena fikir keadaan diri dan kesihatan Puteri.

“Tetapi kalau betul pihak produksi boleh mengikut arahan dan berani memberi jaminan melaksanakan SOP seperti yang ditetapkan, mungkin rasa risau itu kurang sedikit,” katanya.

Puteri disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari penggambaran drama bersiri Demi di Scotland. Selain Puteri, pelakon drama sama, Ashraf Muslim dan pengarah, Rahila Ali turut disahkan positif virus tersebut.