fbpx

Pukul Bekas Isteri, Awie Diperintah Bayar Ganti Rugi RM80,000

Penyanyi rock terkenal, Datuk Awie diarah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM80,000 kepada bekas isterinya, Rozana Misbun berikutan penderitaan yang ditanggung berhubung kes pukul yang difailkan empat tahun lalu.

Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada 28 September lalu telah menghakimkan ganti rugi am sebanyak RM30,000, ganti rugi teruk sebanyak RM50,000 dan kos sebanyak RM10,000 untuk dibayar oleh Awie kepada pihak Rozana.

Rozana sebelum ini telah menfailkan saman sivil bagi menuntut ganti rugi di atas segala kecederaan yang dialami antaranya retak tulang rusuk, lebam-lebam di bahagian muka, telinga kiri, leher bahagian kiri, lengan, ketiak, dada, bilateral periobital dan hidung.

Dalam masa sama, Rozana juga turut menuntut kos rawatan di hospital dan juga perasaan malu yang terpaksa ditanggung di atas perbuatan bekas suaminya itu.

Pada 7 Mac 2016, Awie dilepaskan daripada pertuduhan jenayah mencederakan bekas isterinya selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan Awie perlu membuat permohonan maaf.

Sebelum itu, Awie mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan Rozana yang ketika itu adalah isterinya di kediaman mereka pada 2 Jun 2014.  Penyanyi itu kemudian didakwa dan telah mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan Rozana di kaunter Permodalan Nasional Berhad Jalan Tun Razak pada 2 Jun 2014.