PTPTN Bakal Sekat Peminjam Degil Dari Keluar Negara?

Kuala Lumpur, 20 Ogos – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengembalikan semula sekatan perjalanan keluar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang enggan membayar balik pinjaman walaupun berkemampuan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata setakat ini belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu.

“Sekatan perjalanan keluar negara masih dalam peringkat pertimbangan, belum ada keputusan muktamad. Buat masa sekarang, kerajaan belum melaksanakan semula sekatan ke atas peminjam,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Lim turut bertanyakan sebab pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan ijazah sarjana muda kelas pertama dihentikan oleh kementerian.

Mengulas perkara itu, Mustapha menjelaskan, laman sesawang PTPTN sebelum ini sedang melalui proses penyelenggaraan, dan permohonan untuk pengecualian akan dibuka semula mulai 1 September ini.

“Graduan yang memperoleh keputusan kelas pertama boleh memohon semula apabila sistem dibuka nanti,” katanya.

Beliau menambah, skim pengecualian yang mula diperkenalkan pada 2001 telah memberi manfaat kepada seramai 133,159 peminjam dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM2.9 bilion.

×