fbpx

Program Kerajaan Bantu 150,597 Dapat Pekerjaan – PM

Sebanyak 150,597 individu berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan kerajaan 23 April lalu.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, kejayaan itu melebihi jumlah unjuran kumulatif pada April 2021 dengan sasaran kerajaan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini.

Pada masa sama, usahaha kerajaan meningkatkan pelaburan dalam negara mewujudkan 33,907 pekerjaan baharu dengan 76% daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

“Ini adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu hasil daripada komitmen pelaburan bagi 2021,” katanya menerusi laman Facebook rasminya.

Pagi ini saya telah mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang diadakan secara persidangan…

Posted by Muhyiddin Yassin on Friday, 7 May 2021

Beliau juga mempengerusikan menyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang diadakan secara persidangan video.

Mesyuarat ini memberi penerangan terperinci berkaitan inisiatif Pengekalan dan Penjanaan Pekerjaan di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi.

Secara keseluruhan, inisiatif penempatan pekerjaan dan pewujudan pekerjaan baharu melalui komitmen pelaburan telah mengatasi sasaran yang ditetapkan .

Muhyiddin berkata, beliau juga dimaklumkan mengenai isu dan cabaran pekerjaan dalam sektor tidak formal.

“Hasil daripada 6,202 program libat urus yang dijalankan, bilangan orang yang bekerja sendiri (OBS) termasuk pekerja gig yang mendapat perlindungan sosoal dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meningkat daripada 71,000 pada 2019 kepada 81,000 (2020) dan terkini 142,000 (2021),” katanya.

Pada mesyuarat itu, pihak Grab Malaysia turut membentangkan strategi memperkasakan ekonomi domestik melalui proses digitalisasi.

“Sebanyak 4 program perintis yang dicadangkan mampu menyediakan lebih menyediakan 35,000 peluang menjana pendapatan bagi pekerjaan e-hailing, golongan OKU, para peniaga di pasar awam serta perusahaan makanan dan minuman (F&B),”jelasnya.

Menyedari kesukaran golongan OKU dan rentan untuk mendapatkan akses kepada peluang penjanaan pendapatan, beliau berkata, NEC telah meminta Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengkaji langkah-langkah termasuk peruntukan perundangan bagi memastikan inisisatif dapat dijalankan dengan kadar segera.

“Saya dimaklumkan yang Program KerjayaUP yang dilancarkan 12 April lalu, khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar berjaya membantu 489 pemohon mendapat pekerjaan serta merta.

“Sehubungan itu NEC bersetuju memperluaskan program ini secara lebih agresif dengan sasaran yang lebih meluas bagi membantu sisioekonomi golongan ini untuk keluar daripada belenggu kemiskinan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, bagi memantapkan komposisi keahlian NEC supaya lebih inklusif, 3 ahli tetap tambahan mewakili sektor kewangan, keusahawanan dan inovasi telah dilantik.

Ia terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah Maybank Investment Band Bhd, Datuk Seri Sharifah Sofianny Syed Hussain; Presiden Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi dan Pengasas bersama GoGet, Francesca Chia.

Kredit: DagangNews.com