fbpx

Produksi Drama Tak Profesional, Izara Aishah Lebih Suka Berlakon Filem

Pelakon Izara Aishah berkata dia lebih memilih untuk fokus kepada filem apatah lagi melihatkan sikap segelintir produksi drama yang tidak profesional dan sukar memberi kerjasama.

Memetik mStar Online, Izara berkata berlakon filem lebih memberi kepuasan kepada dirinya berbanding drama.

BACA: Sahabat Dari Dewi Remaja, Izara Aishah Teruja Jadi Model Kempen Raya Tudung Neelofa

“Alhamdulillah masih ada banyak tawaran diberikan tetapi tiada yang sesuai. Saya memilih jalan cerita, skrip dan produksi yang akan saya bekerja sebelum memberikan kata putus.

“Saya lihat segelintir produksi drama banyak yang tidak serius, atas sebab itu juga saya lebih memilih untuk berlakon filem.

“Ada di antara mereka juga bersikap tidak profesional dan susah untuk bekerjasama. Kalau berlakon filem, biasanya mereka akan lebih pentingkan karakter,” katanya.

Kata Izara lagi, setiap kali menerima sesuatu tawaran sudah menjadi kebiasaan dia akan meneliti watak serta akan memilih karakter sesuai dengan kehendaknya.

Dalam pada itu, Izara berkata semenjak bergelar ibu dia memperlahankan kerjaya seni untuk memberi fokus kepada keluarga apatah lagi ada waktu penggambaran berlarutan sehingga lewat malam.

“Keutamaan saya sekarang adalah keluarga. Kalau ada penggambaran pun paling lewat kena pulang sebelum pukul 12 tengah malam.

“Pihak produksi juga sangat memahami permintaan saya itu malah saya sentiasa berusaha mengatur jadual agar karier, perniagaan dan keluarga seimbang.

“Tetapi buat masa ini saya belum boleh memberi tumpuan penuh kepada perniagaan kerana sibuk menguruskan anak sendiri,” katanya.

Izara mendirikan rumah tangga dengan Adib Khalid pada November 2017. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Irisa Alaia kini berusia dua tahun.