fbpx

Pelakon veteran, Wan Maimunah mendedahkan bahawa dia tidak pernah menerima bayaran setimpal dengan hasil kerja yang dilakukan biarpun dia layak mendapat lebih darpada apa yang diberikan.

Memetik mStar Online, Wan Maimunah berkata adakalanya dia terpaksa mengemis untuk mendapatkan haknya apabila ada pihak produksi bersikap culas untuk membuat pembayaran.

BACA: Mahu Pakai Serba Putih Di Tanah Suci, Wan Maimunah Reda Jika Tak Kembali

“Biasanya ibu (panggilan Wan Maimunah) memang tak ambil wang pendahuluan kerana bayarannya pun tidak seberapa tetapi itu pun ada yang liat hendak bayar sampai terpaksa meminta-minta.

“Bayaran diberikan juga tak setimpal dengan usaha diberikan sampai pernah ibu minta tokok (tambah) dan tidak kisah bayaran dibuat selepas semua kerja selesai.

“Ada orang kata ibu bodoh, tetapi ibu bukan jenis kisah sangat kerana berapa pun bayaran diberikan itu adalah rezeki dari Allah,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon berusia 65 tahun itu tidak menyalahkan pihak produksi sepenuhnya serta merayu agar pihak penerbit lebih peka. 

Dalam pada itu, Wan Maimunah berkata dia sudah memaafkan serta menghalalkan pada pihak yang masih belum melunaskan bayaran kepadanya.

“Ibu merayu kepada penerbit turun padang intai-intai sama ada pengurus produksi lakukan kerja secara jujur atau sebaliknya. Rezeki semua terletak pada Allah, ibu tidak mahu buka aib sesiapa, tapi ibu sudah halalkan semuanya,” katanya.

Difahamkan, Wan Maimunah akan berangkat ke Tanah Suci pada 1 Disember depan bagi mengerjakan ibadah umrah serta menyimpan hasrat untuk memakai pakaian berwarna putih untuk menjadi tetamu Allah kali ini.