PRIME Tingkatkan Kesiapsiagaan Komunikasi Semasa Bencana Di Sabah

Sabah kini memiliki Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) yang sangat penting untuk menyediakan kemudahan komunikasi moden semasa bencana, kecemasan atau di kawasan yang tidak mempunyai liputan infrastruktur komunikasi.

Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaaan itu diluncurkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Katanya, unit kenderaan PRIME itu merupakan yang kedua selepas Semenanjung manakala Sarawak bakal dilengkapi kemudahan canggih itu pada Oktober ini.

“PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh MCMC, dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.

Dron yang menjadi salah satu kelengkapan canggih PRIME

“PRIME berupaya menjalankan operasi menyelamat semasa bencana bersama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan.

“Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis peluncuran PRIME peringkat Sabah itu berlangsung sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, Tawau.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Seri Mohamad Fauzi Md. Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

HBK turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serentak di 1,099 NADI seluruh negara dengan pelbagai pengisian menarik seperti aktiviti perkhidmatan pintar, Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pameran oleh usahawan NADI.

Fahmi Fadzil berucap pada Hari Bersama Komuniti (HBK) dan meluncurkan PRIME peringkat negeri Sabah

Turut diadakan, penyampaian sumbangan program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) Pelajar Cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) serta penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu.

Sementara itu, Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan Fahmi juga meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kg. Kuala Merotai.

Jelas kenyataan itu, menara tersebut mula beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh syarikat Redtone.

“Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk,” katanya.

×