fbpx

Positif Covid-19 Kali Kedua, Nabila Huda Akui Rasa Sakit Sangat

Disahkan positif Covid-19 buat kali kedua, pelakon dan pengacara Nabila Huda kini sedang menjalani kuarantin kendiri di Perlis.

Menurut Nabila, kali ini kesan Covid-19 yang dialaminya lebih teruk berbanding sebelum ini apabila mengalami sakit tekak yang teruk.

BACA: Kongsi Gambar Berpakaian Mencolok Mata, Nabila Huda Dikecam

“Sekarang saya kena kuarantin kali kedua, namun yang tak seronok kerana berada di Perlis, yang mana berjauhan daripada keluarga. Sebelum pulang ke Perlis saya ada melakukan ujian saringan namun negatif. Sebaik saja tiba di Perlis, keputusan positif pula.

“Sewaktu positif kali pertama, tak macam ini. Masa tu cuma hilang deria rasa dan bau yang mana teruk juga tapi tiada rasa sakit.

“Kali kedua ini saya ada beberapa simptom seperti sakit tekak yang melampau, selesema dan demam yang ‘on-off’,” katanya.

Berkongsikan pengalaman dijangkiti virus itu lagi, Nabila berkata tahap oksigennya menurun sehingga 94 peratus. Bagaimanapun, dia meluahkan rasa syukur sudah mendapatkan dos penggalak.

“Saya hanya ingin berkongsi pengalaman hari keempat dijangkiti Covid-19 buat kali kedua. Tahap oksigen turun sehingga 94 pada waktu malam. Kalau pengalaman pertama dahulu tidak pernah serendah ini.

“Selain itu, saya turut mengamalkan merebus bunga cengkih, makan bawang putih yang tidak dimasak dan pelbagai lagi. Mujur juga saya sudah mendapat dos penggalak, Insya-Allah semuanya baik-baik saja,” katanya.