Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus membuktikan mereka bukan sekadar penyumbang ekonomi, malah menjadi antara pemacu utama pertumbuhan negara apabila merekodkan prestasi lebih baik berbanding keseluruhan ekonomi Malaysia sepanjang tahun 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, berdasarkan statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PMKS berkembang sebanyak 5.7 peratus kepada hampir RM690 bilion, mengatasi pertumbuhan ekonomi negara yang mencatat 5.2 peratus.
Bukan itu saja, sumbangan PMKS kepada KDNK negara turut meningkat daripada 39.5 peratus pada 2024 kepada 39.7 peratus pada 2025. Malaysia juga kini mempunyai hampir 1.3 juta PMKS, bersamaan 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini.
Bagaimanapun, Steven Sim mengakui masih banyak ruang untuk dipertingkatkan memandangkan lebih 77 peratus PMKS di negara ini masih berada dalam kategori perusahaan mikro.
Menurut beliau, fokus kerajaan selepas ini bukan lagi sekadar melahirkan lebih ramai usahawan, tetapi memastikan lebih banyak syarikat tempatan berjaya meningkatkan skala perniagaan sehingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Cabaran sebenar kita bukan sekadar melahirkan lebih banyak perniagaan, tetapi memastikan perusahaan mikro berkembang menjadi kecil, perusahaan kecil menjadi sederhana dan lebih banyak syarikat tempatan mampu menembusi pasaran global.”
Dalam persekitaran perdagangan global yang mencabar, PMKS turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila nilai eksport meningkat 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion. Angka itu jauh mengatasi pertumbuhan keseluruhan eksport negara yang mencatat 5.9 peratus, sekali gus membuktikan PMKS Malaysia semakin berdaya saing di pasaran dunia.
Bagi memastikan momentum itu diteruskan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kini melaksanakan inisiatif Power Up 10K dengan pembiayaan sebanyak RM15 bilion bagi membantu PMKS meningkatkan produktiviti, mengukuhkan aliran tunai, memperluaskan kapasiti perniagaan serta membuka lebih banyak peluang di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Pada sidang media sama, Steven Sim turut melancarkan Quick Guide on Utilising FTAs by SMEs, iaitu buku panduan yang dibangunkan oleh SME Corp. Malaysia untuk membantu PMKS memanfaatkan 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dimiliki Malaysia.
Panduan tersebut memudahkan usahawan mengenal pasti FTA yang sesuai, memahami peraturan asal serta memanfaatkan kelebihan tarif dan akses pasaran global.
“FTA bukan hanya untuk syarikat besar. PMKS juga boleh menikmati pengurangan tarif, akses pasaran yang lebih luas dan peluang menyertai rantaian bekalan antarabangsa,” katanya.
Turut berlangsung ialah pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dengan Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) dan Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA) bagi memperkukuh pembangunan PMKS melalui kerjasama dalam aspek kelestarian, pembangunan kapasiti, jaringan industri serta akses pasaran.