fbpx

PM Ambil Berat Isu Golongan Miskin Bandar Terutamanya Penduduk Di PPR

Sambil-sambil scroll Facebook untuk tahu tentang isu semasa, kami ada ternampak satu posting dari laman sosial Perdana Menteri kita, Tan Sri Dato Haji Muhyiddin Yassin ni. Ianya tentang satu lawatan mengejut beliau ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak sebelum berangkat ke Parlimen.

Menerusi laman sosial tersebut Perdana Menteri ada menyatakan yang tinjauan ini bertujuan untuk melihat sendiri kehidupan penduduk di situ.

Berikut adalah entri yang dikongsikan oleh Perdana Menteri menerusi laman sosial beliau.

“Pagi ini sebelum ke Parlimen, saya telah melawat ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur, bagi meninjau dan melihat sendiri kehidupan penduduk di situ.
Mereka merupakan kelompok yang terkesan dan terpaksa bergelut dengan kesusahan untuk meneruskan kehidupan di bandar.

Dalam lawatan tersebut saya sempat menziarah penghuni tiga unit PPR di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu dua orang warga emas berusia 78 tahun, Puan Chan Kam dan Puan Danalachimi a/p Baboo Naidu serta pasangan suami isteri OKU, Encik Rosali bin Md Nasid dan Puan Artinie binti Besah.

Saya kagum dengan ketabahan dan kegigihan Encik Rosali menyara isteri dan dua anaknya. Beliau yang cacat kedua-dua tangan dan menggunakan kaki kanan palsu, mencari pendapatan dengan membuka kedai jahit. Beliau adalah penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC).

Pada pertemuan tersebut, Encik Rosali menyuarakan tentang kesukaran mendapatkan dana untuk modal berniaga. Beliau ada memohon beberapa inisiatif di bawah seliaan Kerajaan. Namun setakat ini beliau masih belum mendapat apa-apa bantuan bagi mengembangkan perniagaan beliau.

Saya telah meminta pihak JKM agar dapat membantu beliau.

Saya juga berkesempatan bertemu dengan Puan Chan Kam yang tinggal bersama anak lelaki OKU dan Puan Danalachimi yang tinggal bersendirian.

Saya diberitau mereka ini tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan. Mereka juga dibantu oleh sukarelawan yang datang seminggu sekali membelikan barang keperluan dan membersihkan rumah.

Saya juga telah diberitahu terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersama agensi-agensi kerajaan memberi pertolongan dan sokongan. Syabas dan terima kasih.

Kedua-dua warga emas itu bukan sahaja menerima Bantuan Prihatin, malah berada di bawah pemerhatian JKM yang menyalurkan Bantuan Orang Tua (BOT). Anak Puan Chan Kam juga menerima Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB).

Saya juga berkesempatan singgah bersarapan di gerai Che Nah di medan selera dan beramah mesra dengan penduduk PPR di situ. Banyak cerita dan luahan yang saya dengar daripada mereka.

Lawatan ini banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kehidupan warga kota atau golongan miskin bandar.
Kebanyakan mereka membuat bisnes kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori serta ramai juga yang membuat kerja sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka.

Saya yakin, kesemua mereka menginginkan kehidupan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai kekangan yang terpaksa mereka lalui.

Sebenarnya, banyak inisiatif yang telah dilakukan oleh JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membantu golongan ini.

Syabas! Saya berharap Kementerian dan agensi yang terbabit akan meneruskan usaha dan inisiatif murni ini.

Bagaimanapun, setelah mendengar luahan mereka, saya percaya banyak lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan serta agensi-agensi kerajaan dalam memastikan golongan ini terbela dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan atau sosial.

Antaranya dengan menambah baik pusat-pusat komuniti setempat dengan aktiviti menambah kemahiran, keusahawanan dan memperkasakan pendidikan anak-anak mereka untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan.

Semasa pramesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang saya hadiri tengah hari tadi, saya telah bangkitkan permasalahan penduduk di PPR tersebut. Saya meminta agar satu langkah proaktif dan pelan tindakan secara holistik disegerakan bagi membantu penduduk PPR untuk memastikan golongan ini lebih berdaya maju.

Realitinya, saya bangga kerana ramai rakyat Malaysia yang rajin dan bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan yang lebih baik. Ada antara mereka melakukan dua tiga kerja sehari bagi menambah pendapatan keluarga. Ada yang memandu teksi dan Grab. Ada yang menghantar makanan. Ada juga membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja mereka.

Saya akan berusaha untuk memastikan mereka ini tidak dipinggirkan malah perlu lagi dibantu. Kerajaan akan sentiasa meletakkan agenda membantu rakyat sebagai keutamaan dan akan terus mencari pelbagai kaedah bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan ini. Sama-sama kita berusaha untuk membina Malaysia yang lebih baik”.