Rabu lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian pelawak Pian Cecupak yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Memetik mStar Online, adik kepada Allahyarham iaitu Hasenah berkata abangnya pergi dalam keadaan bersih dan menghadap kiblat.
BACA: Anak Tak Sangka Pian Cecupak Buka Pusat Tahfiz, Pesan Suruh Uruskan Jika Sudah Tiada
Hasenah turut bersyukur arwah tidak mengalami kecederaan ketika ditemukan terbaring kaku di bilik air di rumah ibu mereka di Flat Sentul Murni, Kuala Lumpur.
“Kedudukan dia cantik, dia duduk (terbaring) menghadap kiblat dalam keadaan tangan dia dan siap macam ni (qiam), kaki dia dah julur. Saya tak terkilan… tak la terhantuk ke apa ke. Dia pergi dalam keadaan bersih sangat,” katanya.
Dalam pada itu, Hasenah berkata arwah abangnya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang mencurigakan namun abangnya itu bersemangat untuk sambut hari jadi ibunya sedangkan sebelum ini tidak pernah menyambutnya.
“Arwah beria nak buat majlis hari ulang tahun kelahiran mak. Sebelum ni tak pernah sambut pun, ni la pertama kali kami buat.
“Dia nak sangat adik-beradik, anak, cucu semua berkumpul masa tu. Tapi pada hari sambutan tu keriangan dia dah tiada. Dia hanya diam… ajak bergambar pun dah tak ceria. Dia hanya nampak cool, dah tak nampak lawak dia,” katanya.
Pada 2018, arwah Pian pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 3 pagi akibat sesak nafas. Doktor mengesahkan Pian mengalami serangan jantung dan diletakkan di Wad Pemulihan Jantung (CRW).