fbpx

Pernah Pakai Gaun Sama Natasha Hudson, Pavithra Minta Tutup Bahu

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai pelakon Natasha Hudson yang dikecam kerana menggayakan gaun yang mendedahkan bahagian bahu dikatakan tidak sesuai dengan imejnya yang bertudung.

Semalam, pereka fesyen Rizman Ruzaini dilihat ada memuat naik sekeping gambar memaparkan personaliti masakan YouTube, Sugu Pavithra ketika sesi fotografi tahun lalu memakai gaun sama seperti Natasha.

BACA: “Saya Terkejut & Kecewa, Baju Itu Direka Untuk Wanita Free Hair”

Namun, apa yang menjadi perhatian ramai, Rizman Ruzaini berkongsikan Pavithra yang kurang selesa dengan gaun tersebut pernah meminta agar bahagian terdedah itu ditutup.

“Gaun ini dipinjam untuk sesi penggambaran dan mereka turut membawa penata gaya memantau sesi fotografi itu.

“Malangnya gaun itu terlalu terdedah untuk Pavithra, yang mana Pavithra kurang selesa. Dia kemudiannya meminta agar bahunya ditutup dengan sempurna,” katanya.

Rizman Ruzini berkata, permintaan Pavithra itu dipersetujui oleh penata gaya yang berada di set penggambaran dan semua pihak.

Perkongsian Rizman Ruzaini itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang bersetuju dengan pendapat pereka fesyen itu serta mengagumi tindakan Pavithra.

Netizen turut memberi komen pedas mengatakan orang yang bukan Islam mahu menutup bahu sedangkan yang Islam sengaja biarkan terdedah untuk cetuskan kontroversi.

Terdahulu, Rizman meluahkan rasa kesal dan terkejut dengan tindakan pelakon tersebut dan menganggap ia telah mencalarkan reputasi dan imej yang dibina mereka sepanjang 15 tahun dalam industri fesyen.