Permohonan PM Rujuk Isu Perlembagaan Bukan Untuk Kekebalan Mutlak

Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk beberapa soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan bukan bertujuan untuk mewujudkan kekebalan mutlak kepada mana-mana individu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, permohonan Perdana Menteri di bawah perkara 128 (2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 itu sebaliknya membangkitkan isu perlembagaan baharu dan belum diputuskan.

Katanya, secara khusus ia berkaitan dengan hubungan antara litigasi sivil dan keupayaan seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan untuk melaksanakan fungsi eksekutifnya dengan berkesan.

“Lapan soalan tersebut merangkumi, antara lain: sama ada tindakan sivil berhubung perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir.

“Sama ada Perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes seperti itu.

“Dan sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan menyokong perlindungan prosedural bagi menjaga pemisahan kuasa dan kestabilan institusi,” kata AGC dalam kenyataan.

Kenyataan media Jabatan Peguam Negara.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya Muhammad Yusoff Rawther, empat tahun lalu.

Anwar turut memohon mahkamah mempertimbangkan sama ada saman itu menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas sebagai ketua eksekutif negara, selain melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin Perlembagaan.

Mengulas lanjut, AGC menegaskan soalan berkenaan adalah soalan struktur mengeai tadbir urus Perlembagaan, bukannya soalan mengenai kekebalan peribadi.

Katanya, proses rujukan Perlembagaan diwujudkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan muktamad terhadap isu-isu seperti ini.

“AGC menghormati integriti mekanisme Perlembagaan ini dan akan menilai sebarang permintaan untuk campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan sentimen yang berbaur politik.

“AGC menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

×