fbpx

“Permintaan Zamani Untuk Tarik Diri Tak Diendahkan”

Semalam, ketika berlangsungnya konsert Gegar Vaganza perhatian penonton lebih tertumpu kepada penyanyi Zamani yang gagal melontarkan suaranya kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Ramai yang terkejut dan tertanya-tanya punca sebenar Zamani gagal membuat persembahan. Bagaimanapun, memetik laporan Astro Gempak, Datuk Ramli MS yang juga selaku juri tetap menjelaskan kehadiran Zamani di atas pentas malam semalam atas kerelaannya sendiri.

BACA: “Sebak Lihat Penonton Menyanyi Untuk Zamani”

Ujar beliau lagi, Zamani telah pun menunjukkan masalah suara ketika latihan terakhir, namun penyanyi itu tetap ingin meneruskan persembahan.

“Bila Zamani tidak sihat dan dia datang ketika sound check terakhir, masa itu saya terus minta dia pulang dan berjumpa dengan doktor untuk ambil ubat. Tapi bila dia datang kembali suaranya semakin teruk dan saya cuba ‘modulate’ untuk turunkan key nyanyiannya tapi suara dia masih koyak.

“Jadi kami tak paksa pun sebab dia sendiri yang minta jangan ‘modulate’. Malah dia tidak pernah kata tidak mahu meneruskan persembahan malam itu. Cuma bila muzik sudah mula tadi dia tidak dapat keluarkan suara kerana mengalami sakit tekak yang agak teruk,” katanya.

Bagaimanapun, selepas Zamani tidak dapat mempersembahkan nyanyiannya, pengurus penyanyi itu, Johan Aziz memuatnaik status di Facebooknya mengatakan bahawa Zamani ingin menarik diri namun tidak diendahkan oleh pihak produksi.

Walaupun diumumkan sebagai peserta yang tersingkir, Zamani diselamatkan oleh Datuk Aliff Syukri selaku penaja yang menggunakan kuasa imuniti untuk mengekalkan penyanyi tersebut. Namun, setakat ini Zamani belum membuat keputusan untuk menerima imuniti tersebut atau tidak.