Meskipun sudah 30 tahun dalam dunia model, namun nama pelakon dan model, Nasha Aziz masih popular di pentas peragaan. 

Memetik mStar Online, Nasha mendedahkan dia pernah melarikan diri dari sebuah uji bakat iklan jenama antarabangsa kerana perlu berbikini kerana melanggar prinsipnya sebagai model.


BACA: Dapat Bunga Setiap Hari, Nasha Aziz Akui Sedang Dilamun Cinta

“Ketika itu umur saya baru 19 tahun dan saya dijemput untuk menghadiri satu sesi uji bakat jenama antarabangsa yang popular.

“Saya lihat semua model di situ memakai bikini kerana konsep diberikan adalah tepi pantai. Saya pun berlari keluar dari bilik uji bakat dan memberitahu tidak mahu menjadi model,” katanya.

Bagaimanapun, Nasha berkata sudah tertulis rezekinya apabila dia tetap diberikan peluang untuk beraksi serta dibenarkan memakai pakaian lebih sopan untuk menjalani sesi uji bakat.


“Ketika itu saya bernaung di bawah agensi milik Puan Seri Tiada Jacquelina dan dia memberitahu klien sudah melihat profil dan berminat untuk saya menyertai mereka. Mereka membenarkan saya memakai kemeja-T dan seluar serta memberi bola dan gelung untuk beraksi.

“Saya buat uji bakat itu dengan bersahaja dan Alhamdulillah seminggu seleaps itu, saya mendapat panggilan diterima membintangi iklan komersial tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Nasha juga percaya dengan bakat dimiliki dia tidak perlu melanggar prinsip yang dipegang sepanjang bergelar model.

“Sama juga jika saya dijemput oleh Zhang Toi dan Jimmy Choo di New York atau London, saya meletakkan syarat untuk pakaian yang akan diperagakan.

“Bagi saya kerana bakat yang ada, mereka percaya dengan kebolehan saya dan mahu saya memperagakan koleksi mereka. Pergi cari gambar saya berbikini, ada tak? Itu yang membuatkan saya masih bertahan dalam dunia model hingga ke hari ini,” katanya.