Wah, tak sangka dah masuk edisi ke-18 Pertandingan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Dato’ Chu Ah Nge, anjuran Royal Selangor Club! Setiap tahun, event ni memang jadi acara wajib bagi peminat bola sepak, dan kalau korang masih tak tahu, ini adalah salah satu pertandingan bola sepak remaja terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara.
Jangan tak tahu sebanyak 24 pasukan dari pelbagai negara datang bersaing, dengan hampir 1,500 orang peserta! Kalau nak kira, memang meriah gila!
Menariknya, ia bukan sekadar perlawanan bola sepak, tetapi pertandingan ini lebih kepada memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja yang berusia antara 8 hingga 16 tahun untuk menunjukkan bakat di atas padang. Tak kira besar atau kecil, semua peserta ni datang dengan semangat juang yang luar biasa. Tak dinafikan, ramai yang memang berbakat, siap boleh lawan dengan pemain dewasa!
Menurut YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan beliau sangat teruja apabila pasukan perempuan juga turut terlibat. Macam yang kita tahu, bola sepak sering dikaitkan dengan lelaki, tetapi kini lebih banyak ruang terbuka untuk para gadis menunjukkan kebolehan mereka.
“Saya rasa ini adalah langkah yang sangat positif untuk bola sepak wanita di negara kita dan pasti ada bintang-bintang muda yang akan muncul daripada pertandingan ini, kita semua patut beri sokongan penuh,” katanya.
“Satu lagi benda yang saya suka tentang pertandingan ini adalah ia bukan sekadar fokus pada mencari pemenang, tetapi juga memberi peluang kepada anak-anak muda untuk memperbaiki diri dan belajar tentang kesukanan. Dari segi disiplin, kerjasama pasukan, dan semangat juang, semua ni penting dalam pembentukan karakter mereka,” tambahnya lagi.
Walaupun ia adalah pertandingan untuk kanak-kanak, aksi di atas padang langsung tak mengecewakan. Setiap perlawanan penuh dengan ketegangan, skill, dan tak lupa juga ada sorakan daripada keluarga dan peminat. Bila tengok diorang main, rasa macam teruja sangat nak tengok siapa yang akan jadi bintang bola sepak masa depan!
Jangan tak tahu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memperkenalkan Liga Bola Sepak Muda yang memberi ruang kepada kanak-kanak untuk beraksi di peringkat yang lebih kompetitif, seterusnya memupuk semangat kesukanan dalam kalangan mereka. Dengan adanya liga seperti ini, bakat muda yang berpotensi tinggi dapat dikenal pasti lebih awal dan dipupuk sebaiknya untuk berkembang dalam dunia bola sepak.
Yang menariknya, KBS bukan sekadar mementingkan bakat, tetapi juga kesejahteraan kanak-kanak. Mereka memastikan bahawa semua aktiviti bola sepak dijalankan dalam persekitaran yang selamat dan positif, di mana aspek pendidikan dan kesihatan juga diberi perhatian.
Bila tengok event besar macam ini bermaksud bahawa masa depan bola sepak di Malaysia semakin cerah. Dengan adanya pertandingan akar umbi macam ni, lebih banyak bakat muda akan ditemui dan diberi peluang untuk berkembang ke peringkat yang lebih tinggi. Siapa tahu, mungkin ada yang akan jadi pemain profesional, mewakili Malaysia di pentas antarabangsa satu hari nanti!