fbpx

Penuh Aksi, Filem Golden Job Bakal Pukau Penonton

Bukan calang-calang barisan pelakon filem Golden Job ini. Bagi peminat setia francais filem Young and Dangerous, filem ini membariskan nama-nama utama yang mungkin masih segar di ingatan penonton. Namun jangan salah sangka, filem Golden Job ini tiada kaitan dengan francais tersebut.

Apa yang pasti, melihatkan daripada trailer filem ini sahaja sudah sesak nafas dengan aksi yang tidak henti-henti. Seperti biasa, tema persahabatan dan semangat setiakawan diangkat dengan cukup baik di dalam filem ini. Tetapi pernahkah anda kena ‘tikam dari belakang’ oleh kawan anda sendiri?

Mari kami terangkan secara ringkas mengenai filem arahan dan lakonan Ka Lok Chin ini. Filem aksi ini mengisahkan 5 sekawan yang merupakan tentera upahan (diketuai oleh Lion) kembali bersatu selepas misi yang mereka rancang 5 tahun lalu gagal.

Kisahnya bermula daripada Lion yang dikenali sebagai Robin Hood moden kerana merompak ubat dari golongan kaya-raya demi menolong Dr. Chow dan juga mereka yang memerlukan bantuan perubatan di sebuah kem pelarian.

Demi meneruskan misi membantu dan membekalkan ubat untuk pelarian di kem tersebut, Lion dan rakannya hadir dengan satu rancangan.

Rancangan mereka cukup mudah – rompak trak yang membawa ubat-ubatan dan melalui kepakaran masing-masing, perkara tersebut dilihat pasti akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Namun semuanya berubah apabila trak yang dirampas mereka itu sebenarnya bukanlah mengandungi ubat-ubatan dan membuatkan mereka tersedar, ada pembelot di antara mereka berlima.

Sejauh mana semangat setiakawan di dalam filem yang dibintangi oleh Ekin Cheng, Jordan Chan, Michael Tse, Jerry Lamb, Eric Tsang ini mampu bertahan dan siapakah sebenarnya di antara lima sekawan itu yang menjadi pembelot?

Jawapannya hanya anda ketahui bermula 27 September ini dan bagi peminat filem aksi, jangan lupa saksikan filem yang mengangkat nama-nama lagenda industri perfileman Hong Kong ini. Bukan mudah untuk kembali mengembalikan nama-nama besar ini di dalam satu filem.