fbpx

Pentingkan Kesetiaan, Nabil Ahmad Tolak Tawaran Ratusan Ribu Jenama Lain

Pelakon Nabil Ahmad mendedahkan dia sanggup menolak tawaran ratusan ribu Ringgit untuk menjadi duta bagi sebuah jenama pakaian terkenal.

Memetik Oh Bulan, Nabil berkata sudah sembilan tahun bersama jenama Jakel, bukan wang ringgit yang dikejar sebaliknya jenama itu banyak membantunya dan kerana kesetiaan.

BACA: Nabil Ahmad Dikecam Lagi Gara-Gara ‘Face Shaming’ Jihan Muse

“Ada jenama yang menawarkan saya ratusan ribu ringgit, tapi saya tolak. Ia kerana kesetiaan, sebab saya ingat lagi masa saya tengah tiada ‘job’ waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hidup saya memang huru-hara, satu-satunya klien yang telefon saya minta saya buat video adalah Jakel.

“Jadi saya memang ingat sangatlah. Tak bolehlah saya nak sebut jenama yang tawarkan saya itu. Banyak yang mereka tawar tapi tidaklah sampai berjuta.

“Ayat dia macam ini, berapa Jakel bayar kau, aku bayar ‘double’. Kemudian saya beritahu sekiranya Jakel sanggup bayar ‘double’, pihak itu sanggup bayar ‘triple’.

“Untuk saya ia nampak macam berlawan, kau bukan nak aku sangat, kau nak lawan sahaja nak tunjuk kau boleh beli kita. Di situ pula kita kena tunjuk nilai kita. Mungkin orang lain boleh gelap mata dengan nilai itu, tapi saya tidak,” katanya.

Sementara itu, Nabil berkata dia tidak menyesal menolak tawaran tersebut dalam masa yang sama itu caranya untuk membalas budi jenama pakaian tersebut.

“Saya tidak menyesal, sebab saya rasa tiada cara lain untuk saya membalas budi dan tiada cara lain nak beritahu orang yang saya setia di sini.

“Sebab di sini pun, kadang-kadang kalau tiada job pun saya risik dengan pihak sini, kalau ada kerja yang saya boleh buat dan pihaknya memahami,” katanya.

Dalam pada itu, Nabil menegaskan dia bukan mata duitan dan sudah sembilan tahun juga Jakel turut memberikan pakaian raya buat keluarga termasuk ibu bapanya.

“Saya letakkan kesetiaan pada itu, bukanlah saya letak nilai pada duit semata-mata. Macam contoh Jakel sudah bagi saya pakaian Hari Raya selama sembilan tahun, bukan saya saja tapi keluarga saya termasuk orang tua saya.

“Jadi di mana saya mahu balas jasanya? Kesetiaan itu yang penting, ia bukan pada wang ringgit sebab saya bukan mata duitan,” katanya.