Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman berkata hukuman penjara 30 tahun yang dijatuhkan keatasnya sebelum ini adalah detik paling getir sehingga dia pernah terfikir lebih baik dia dihukum gantung sampai mati.
Memetik BH Online, Yasin berkata dia memikirkan perlu menghabiskan hidup di penjara sehingga usia 80 tahun jika dia perlu menjalani hukuman tersebut.
BACA: Yasin Bakal Terbit Buku Autobiografi 400 Muka Surat
“Saya dijatuhkan hukuman 30 tahun penjara dan seandainya menjadi kenyataan, saya akan berada dalam penjara sehingga umur 80 tahun.
“Itu pun kalau panjang umur. Kalau tidak, mungkin meninggal dunia dalam penjara. Saya memang hilang harapan ketika itu dan rasa seperti tiada penyelesaian.
“Apabila dimasukkan ke Penjara Kajang, saya mula mendekatkan diri kepada Ilahi. Keadaan memang teruk dan ketika itu saya rasa seperti tiada jalan keluar,” katanya.
Sementara itu, Yasin berkongsikan pengalaman menjalani hukuman di penjara dimana penyanyi itu menyifatkan ianya tempat yang teruk serta hina.
“Penjara adalah tempat yang teruk. Sangat kotor, ganas dan hina. Ketika pemeriksaan keselamatan, kita dibogelkan dan diarahkan melakukan ketuk ketampi. Jadi, nasihat saya, janganlah masuk penjara kerana ia tempat yang paling tidak menyeronokkan,” katanya.
Dalam pada itu, Yasin berkata dia perlu mengambil ubat sepanjang hayat dan tidak boleh terlibat dengan kanabis sebagai syarat keluar dari hospital.
Sumber: BH Online