fbpx

Pendapatan Terjejas, Hazama Fokus Jual Laksa

Mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh memberi kesan kepada penggiat seni, penyanyi dan pelakon Hazama sudah mempersiapkan diri dengan mencari alternatif menaja sumber pendapatan.

Tidak hanya berpeluk tubuh, Hazama berkata disebabkan aktiviti seni terpaksa dihentikan, dia mahu memberi fokus dengan perniagaan yang diusahakannya iaitu menjual laksa.

BACA: Hazama, Isteri Tak Putus Asa Soal Zuriat

“Apa yang boleh saya kongsikan, sebelum ini disebabkan banyak kekangan untuk aktiviti muzik, sedikit sebanyak sumber pendapatan bertukar kepada bidang lakonan.

“Namun, seperti yang kita semua sedia maklum, disebabkan situasi sekarang, kerja lakonan pun semuanya dihentikan.

“Jadi, fokus saya selepas ini pula adalah kepada perniagaan makanan kecil-kecilan yang saya usahakan iaitu laksa,” katanya.

Berkongsi cerita mengenai perniagaannya itu, Hazama meluahkan rasa syukur semakin berkembang maju kini. Malah, Hazama berkata dia mula menjual di platform e-dagang Shopee.

“Saya sangat bersyukur kerana dalam situasi pandemik yang kita hadapi sekarang, saya berkesempatan untuk wujudkan satu sumber pendapatan lain.

“Sekarang pun ia dah mula berkembang dan mula dijual di platform e-dagang seperti Shopee. Jadi, dapat saya jual laksa saya bukan sahaja dalam daerah berdekatan, tetapi kepada pelanggan yang tinggal lebih jauh,” katanya.

Dalam pada itu, Hazama berkata dia akan mendalami ilmu perniagaan dan belajar lagi bagaimana untuk menambah baik perniagaan serta produknya.

“Kalau sebelum ini, laksa saya hanya boleh dimakan sehari, jadi sekarang saya nak kena belajar bagaimana untuk menambah baik produk makanan itu supaya boleh tahan lebih lama.

“Selain itu, saya juga akan mendalami ilmu perniagaan terutama bagi mencari mesin sesuai dan sebagainya,” katanya.