Kejayaan mengurangkan defisit fiskal kepada RM21.9 bilion berbanding RM26.4 bilion dan peningkatan pendapatan negara kepada RM72.1 bilion pada suku pertama 2025 adalah pencapaian yang sudah dijangka.

Pencapaian positif itu hasil polisi Kerajaan MADANI yang komited mengurangkan defisit fiskal ke arah belanjawan berimbang yang pernah dicapai negara buat kali terakhir sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan pada era 90-an.

Ketua Pegawai Eksekutif ISRA International Consulting Sdn. Bhd., Universiti INCEIF, Prof Madya Dr Mohamed Eskandar Shah Mohd. Rasid berkata, pencapaian positif suku pertama 2025 itu adalah hasil momentum prestasi yang agak baik pada tahun lepas.

Katanya, trend beberapa suku tahun lepas juga menunjukkan kerajaan komited untuk mencapai belanjawan berimbang.

“Sebenarnya perkara ini sudah dijangka kerana memang menjadi polisi Kerajaan MADANI untuk mengurangkan defisit. Kalau tengok balik sewaktu Datuk Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan (hujung 90-an), kita memang dapat belanjawan berimbang.

“Maksudnya polisi belanjawan berimbang itu diteruskan, cuma defisit dikurangkan secara beransur-ansur. Jadi, ia hanya meneruskan corak atau arah aliran yang sedia ada,” katanya kepada Rotikaya.

Dr. Mohamed Eskandar Shah

Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 berkurangan kepada RM21.9 bilion, berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac 2024, didorong oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan pengoptimuman perbelanjaan sejajar dengan inisiatif konsolidasi fiskal.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan pada Khamis mejelaskan, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding suku yang sama tahun 2024 kepada RM72.1 bilion, didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi, terutama daripada peningkatan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu.

Menurutnya, jumlah perbelanjaan menurun sebanyak 2.5 peratus kepada RM94.2 bilion, terutamanya disebabkan pengurangan perbelanjaan subsidi berikutan pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel dan harga minyak global yang lebih rendah.

Mengulas lanjut, Dr. Mohamed Eskandar Shah menegaskan berita baik itu perlu diraikan dengan berhati-hati kerana terdapat cabaran besar yang menanti ekonomi negara seperti isu tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS), harga minyak yang tidak menentu dan penangguhan perluasan SST.

Katanya, persoalan yang lebih besar sekarang ialah sama ada momentum positif itu dapat diteruskan dalam suku kedua dan ketiga 2025 memandangkan impak tarif timbal balik belum dapat dilihat.

Begitu juga dengan ketidaktentuan harga minyak yang akan menyebabkan sumbangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada kerajaan berkurangan di samping kemelut di antara syarikat itu dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), katanya.

“Dengan penangguhan perluasan SST dan juga kemungkinan sumbangan Petronas yang lebih kecil, mungkin kerajaan terpaksa menangguhkan sesetengah inisiatif disebabkan pengurangan hasil kutipan. Itu yang menjadi kembimbangan kita.

“Kalau kita tengok kepada orang yang bercakap tentang dasar monetari, memang pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) itu dijangka akan berlaku. Mungkin pada penghujung suku kedua atau suku ketiga 2025.

Kementerian Kewangan memaklumkan defisit fiskal pada akhir Mac 2025 berkurangan kepada RM21.9 bilion, berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac 2024.

“Ini kerana ramai menjangkakan pertumbuhan akan perlahan disebabkan ketidaktentuan dalam tarif. Jadi dalam meraikan berita gembira (prestasi ekonomi), kita perlu raikan dengan waspada kerana ‘angin sekarang bertiup kencang’.

“Bagaimana Malaysia akan mengendalikan situasi ini melalui rundingan, serta peranannya sebagai Pengerusi ASEAN untuk mencari penyelesaian terhadap isu tarif ini, kita masih perlu tunggu dan lihat” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Mohamed Eskandar Shah berkata, negara memerlukan pendekatan yang holistik dalam pembaharuan fiskal yang berada dalam keadaaan defisit sejak 1998.

Katanya, untuk meningkatkan hasil, antaranya kerajaan perlu memikirkan langkah-langkah yang lebih agresif manakala dari segi penjimatan, perlu diberi tumpuan kepada cara menyelesaikan isu penyasaran subsidi.

Beliau berkata, dalam isu penyasaran subsidi, salah satu langkah yang boleh dipertimbangkan ialah membudayakan penggunaan tenaga baharu melalui kenderaan elektrik (EV) yang sekaligus berupaya mengurangan subsidi bahan bakar.

“Masalahnya, perbelanjaan kerajaan banyak digunakan untuk membayar kadar faedah hutang, pencen, gaji penjawat awam dan juga subsidi menyebabkan tidak cukup untuk mempersiapkan Malaysia ke arah ekonomi baharu

“Memang kita agak ketinggalan dari segi perbelanjaan infrastruktur. Kita boleh nampak keadaan jalan kita, lapangan terbang, pelabuhan, hospital dan sekolah kita.

“Banyak lagi perbelanjaan untuk menaik taraf sekolah kita dengan makmal moden seperti makmal robotik. Kerajaaan memerlukan duit yang banyak untuk melaksanakan modernisasi negara dalam konteks kecerdasan buatan (AI), teknologi moden dan Revolusi Perindustrian ke- 4 (4IR).

“Kalau tak buat ini semua, kelak kita tak mampu untuk bersaing dengan negara lain,” katanya.

×