fbpx

Peminat Peluk Islam Selepas Dengar Nyanyian Siti Nurhaliza

Memang tidak dapat dinafikan, nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza mampu memukau ramai. Jadi tidak hairanlah beliau dinobatkan penyanyi nombor satu negara. Baru-baru ini, Siti ada memuat naik lagu cover ‘Aisyah Istri Rasulullah’ yang kini meraih lebih 1 juta tontonan.

Lebih terharu, salah seorang peminatnya mengakui memeluk Islam selepas mendengar nyanyian tersebut. Perkara itu peminat berkenaan menerusi ruangan komen saluran YouTube Siti Official Video yang dimuat naik 10 April lalu.

BACA: Siti Nurhaliza Tulis Sajak Buat Tun Mahathir & Siti Hasmah

Meluahkan rasa syukur kerana perkara yang dilakukannya turut memberi dorongan kebaikan kepada orang lain, Siti berdoa semoga peminatnya itu akan terus istiqomah. Katanya lagi, Allah yang mengatur dan memberikan hidayah kepada peminatnya itu.

“Saya dapat tahu hal ini kerana ditulis di ruangan komen video lagu Aisyah Isteri Rasulullah yang saya nyanyikan semula. Bagi saya, Allah sudah memberikan dia hidayah dan lirik lagu itu mempunyai kebaikan dan keistimewaan yang menggerakkan hatinya. Semuanya Allah yang mengatur.

“Apa saja kebaikan yang berlaku, saya sangat bersyukur kerana ada perkara yang kita lakukan memberi dorongan kebaikan kepada orang lain. Doa saya supaya dia akan istiqamah kerana menjadi insan terpilih mendapatkan hidayah Allah,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Siti berkata sebagai penyanyi dia sentiasa berusaha menerapkan nilai baik dan positif dalam lagu nyanyiannya. Apa pun sama-sama kita doakan semoga peminat Siti itu terus istiqamah untuk mendalami agama Islam.