fbpx

Pemenang Kempen “Cashless Boleh” Menang Hadiah Lumayan

Timbalan Menteri Kewangan I, Yang Berhormat Tuan Mohd Shahar bin Abdullah telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen “Cashless Boleh” dan Sijil Pengiktirafan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi pencapaian 100% e-Pembayaran tahun 2021 bertempat di Dewan Auditorium Kementerian Kewangan hari ini di Putrajaya.

Kempen melibatkan sejumlah 14 agensi Kerajaan dan telah berlangsung dari 1 November 2020 hingga 30 Jun 2021. Kempen yang menawarkan peluang untuk memenangi pelbagai hadiah kepada para pembayar yang membuat pembayaran menggunakan mana-mana kaedah pembayaran tanpa tunai sama ada secara kad ATM MyDebit, FPX, JomPAY atau DirectDebit di agensi-agensi yang mengambil bahagian.

Kempen ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan menggalakkan tabiat e-pembayaran ataupun tanpa tunai di kalangan orang awam, sebagai kaedah pembayaran utama di negara kita.

Selain itu, kempen ini turut membantu migrasi Agensi Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan ke arah mencapai kutipan pembayaran 100% tanpa tunai.

Timbalan Menteri Kewangan I, Tuan Mohd Shahar bin Abdullah berkata, inisiatif ini adalah selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital yang menggariskan pelbagai strategi untuk memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital yang berdaya saing termasuklah transformasi kepada “cashless society”.

Tambahnya, dengan kadar internet penetration setiap isi rumah yang kini melebihi 90% dan dijangka akan terus meningkat dengan pelaksanaan inisiatif MyJendala, usaha-usaha mendigitaliasikan perkhidmatan Kerajaan serta pelaksanaan pembayaran secara dalam talian seharusnya seiring dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak swasta.

Agensi-agensi Kerajaan perlu terus inovatif dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan menggunakan teknologi yang terkini. Susulan daripada kempen ‘Cashless Boleh’ yang memberangsangkan, PayNet sekali berhasrat untuk menganjurkan edisi baharu kempen ‘Cashless Boleh’ yang dijangka akan berlangsung selama enam (6) bulan bermula dari Disember 2021 dengan pelbagai hadiah menarik menanti pengguna epembayaran yang bertuah.

Turut hadir, Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa, Timbalan Menteri Kewangan II; Puan Anis Rizana binti Mohd Zainudin, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan; Dato’ Indera Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Pengarah Imigresen, Jabatan Imigresen Malaysia; Encik Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat, Kementerian Kewangan; dan Encik Firdaus bin Ghani, Pengarah Stakeholders Engagements, PayNet.