fbpx

Pelawak Terkenal Pukul Pengawal Keselamatan Warga Emas

Semalam, tular di media sosial video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang pelawak terkenal bertengkar dengan seorang pegawai keselamatan di kawasan kediaman di Taman Acacia, Nilai, pada malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian tersebut, pengawal keselamatan berusia 68 tahun itu cedera selepas ditumbuk tiga kali pada bahagian muka serta turut ditendang oleh pelawak lelaki berkenaan.

Difahamkan, pelawak berusia 49 tahun berasal dari Kedah yang memandu Proton Perdana berwarna hitam itu dilaporkan memasuki kawasan kediaman berkenaan tanpa kebenaran.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, pengawal keselamatan kemudian bertindak menutup palang pos keselamatan dan mengejar kenderaan pelawak itu.

“Selang beberapa minit selepas itu, kereta artis berkenaan melalui semula pos pengawal keselamatan untuk keluar dari kawasan perumahan berkenaan, namun terhenti akibat laluan keluar ditutup dengan palang.

“Berkemungkinan kerana berang kenderaannya dihalang, artis lelaki itu keluar dari kereta sebelum menuju ke arah pengawal keselamatan dan berlaku pertengkaran,” katanya kepada BH Online.

Laporan juga menyebut, pengawal keselamatan tersebut bukan sahaja ditumbuk sebanyak tiga kali hingga menyebabkan lebam di bahagian mata kanan serta sakit pada batang hidung, malah artis berkenaan turut dilaporkan menendang pinggang mangsa dan membaling batu.

Terbaru, memetik laporan BH Online, pihak polis mengesahkan artis berkenaan sudah ditahan dan akan direman hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan Seksyen 427 kanun yang sama atas kesalahan melakukan khianat dengan merosakkan harta benda awam.

https://youtu.be/dOLpSUQW5lk