fbpx

Pelakon Wanita Tempatan Ini Pernah Ditawarkan Berlakon 4 Filem Hollywood

Jika anda menonton drama Jodoh Jodoh Annisa, pasti anda mengenali pelakon Daniella Sya. Meskipun masih baru di dalam industri hiburan tanah air namun siapa sangka pelakon ini pernah ditawar berlakon filem Hollywood.

Menurut Daniella, dia pernah ditawarkan berlakon Iron Man 3, Marco Polo, Crazy Rich Asians dan Power Rangers, namun terpaksa menolak tawaran tersebut.

“Untuk Iron Man 3, saya tak perlu melalui proses uji bakat kerana tawaran ini diberikan oleh rakan bekerja di studio yang menjalinkan kerjasama dengan produksi Hollywood.

“Ada satu babak yang memerlukan pelakon berbangsa Cina kerana ia syarat untuk filem ini ditayangkan di China. Kononnya penggambaran dibuat di China. Itu sebab mereka berikan tawaran kepada saya,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Deniella memberitahu pelakon terkenal China, Fan Bingbing mengetahui tentang perkara itu menawarkan dirinya dan diterima oleh penerbit filem terbabit.

Ujar Daniella, sudah tentulah pihak produksi akan memilih Fan Bingbing kerana namanya yang besar. Namun dia tidak kecewa dan menerima hakikat siapalah dirinya jika nak dibandingkan dengan Fan Bingbing.

Untuk filem Marco Polo, Daniella berkata ditawarkan berlakon watak Kokachin (Blue Princess) dan pihak produksi tidak berhenti mengejarnya untuk menghantar rakaman uji bakat.

Namun sekali lagi rezeki tidak memihak padanya kerana ketika itu dia terikat sebagai artis Mediacorp, Singapura.

“Waktu itu pun saya tak pandai sangat atur jadual kerana tiada pengurus. Manakala untuk filem Crazy Rich Asians, mereka panggil saya empat kali untuk uji bakat watak berbeza.

“Selepas uji bakat kali keempat, mereka tanya jadual saya. Apa lagi jawapan yang boleh diberikan kerana ketika itu saya terbabit dengan latihan drama Dosa.

“Tapi akhirnya saya menyesal sendiri kerana jadual latihan akhirnya ditunda kepada tarikh lain. Ini memang silap saya kerana kurang pandai susun jadual,” katanya.

Mengenai tawaran untuk membintangi filem Power Rangers, Daniella tidak berani mencuba nasib walaupun didesak oleh ejennya kerana watak itu hanya ditetapkan kepada pelakon berusia 18 hingga 21 tahun.

Banyak melepaskan peluang berlakon di Hollywood, namun Daniella berkata dia tidak bimbang kerana masih berpeluang untuk mencuba nasib di sana.

Untuk rekod, Daniella pernah membintangi beberapa drama antaranya Manja, Aurora Aishah, Miss Kapten Cikgu Waiz, Dosa, Isteri Untuk Disewa, Ombak Rindu 2019 dan Jodoh Jodoh Annisa.