Dunia hiburan sekali lagi dikejutkan dengan berita sedih apabila pelakon veteran Idris Mohd Diah dilaporkan telah meninggal dunia. Pelakon berusia 61 tahun itu dikatakan menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur kira-kira jam 2.30 pagi tadi di kediamannya di Presint 9, Putrajaya.

Menurut anak arwah, ayahnya diketahui tidak sedarkan diri sekitar jam 2 pagi dan ketika pasukan perubatan tiba untuk memberikan rawatan mereka mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.

“Ayah disedari tidak sedarkan diri sekitar pukul 2 pagi tadi. Arwah sudah dua tiga hari tidak selera makan,” ujarnya.

Jenazah akan dimandi dan sembahyangkan di Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan, sebelum solat Zohor.

Allahyarham Idris sangat sinonim dengan karakter bapa dan datuk dalam beberapa drama seperti 7 Hati Mencintaiku, Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap.

Selain berlakon, Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada tahun 1980-an.