fbpx

Pelakon dan pengarah, Nam Ron berkata karya yang baik mampu menaikkan barisan pelakon yang membintangi drama atau sesebuah filem berkenaan.

Menurut Nam Ron, pelakon popular atau yang memiliki jutaan pengikut di media sosial belum tentu dapat mengangkat sesuatu karya itu dengan baik.

BACA: Nam Ron Sahut Cabaran, Kongsi Gambar Separuh Bogel Nak Dapat 1 Juta Followers

“Karya yang baik, yang mempunyai roh akan sendirinya menarik orang ramai menontonnya. Gaya penceritaan baik mampu menjulang sesuatu karya itu menjadi terbaik.

“Ini telah terbukti menerusi drama Squid Game, tanpa pelakon bintang yang mempunyai ‘follower’ berjuta di media sosial, tapi mampu menarik orang ramai menontonnya kerana apa… Kerana jalan penceritaan yang baik, naskah karya lain daripada yang lain,” katanya.

Kata Nam Ron lagi, drama Squid Game dari Korea itu bukan sahaja menarik penontotn di negaranya sendiri malah seluruh dunia sedangkan ada dikalangan pelakon drama itu tidak mempunyai media sosial.

“Jadi nampak tak, terbukti penceritaan karya adalah faktor utama kejayaan sesebuah drama dan filem. Boleh berjaya di peringkat antabangsa.

“Apa yang melucukan, pelakon Squid Game sebelum ini tak ada media sosial pun, tak ada Instagram. Baru-baru ni mereka baru ada, itu pun mesti produksi suruh buka akaun sebab drama tu dah viral seluruh dunia.

“Jadi karya yang hebat akan mengundang populariti pelakon itu kemudian, dan pastinya karya hebat diterjemahkan oleh pelakon berbakat,” katanya.

Dalam pada itu, Nam Ron berkata jika pelakon berkenaan mempunyai ramai pengikut itu adalah satu bonus tetapi jika tanpa bakat sesebuah karya itu akan hancur.

“Biarlah pelakon itu punya follower satu juta, 5 juta atau 10 juta tapi tanpa bakat karya itu pasti tidak ke mana, akan hancur.

“Apa yang lebih menakutkan ia bukan sahaja menghancurkan karya itu, tetapi industri ini sendiri, orang akan kata sesiapa pun boleh berlakon dan tengok hasilnya sama sahaja yang mengakibatkan orang tak nak menonton lagi karya tempatan. Itu yang kita bimbang.

“Jadi pentingnya bakat, ada bakat, ada pengikut yang ramai di media sosial itu adalah bonus buat seseorang pelakon,” katanya.

Minggu lalu hangat diperkatakan apabila Nam Ron memuat naik gambarnya separuh bogel secara sarkastik menyahut cabaran sebuah produksi yang mengenakan syarat untuk mengambil pelakon yang mempunyai jumlah pengikut sekurangnya 1 juta di media sosial.