fbpx

Peguam Ulas Video Tabur Garam, Ali Puteh Boleh Kena Saman Lagi

Nampaknya kemelut antara pelawak Ali Puteh dan kakak iparnya, Siti Norhidayah masih tiada kesudahan lagi apabila hangat diperkatakan kembali semalam.

Perkara itu turut mendapat perhatian peguam Nor Zabetha Muhamad Nor yang mengulas isu tersebut dari aspek perundangan.

BACA: “Kalau Benda Betul, Kenapa Perlu Delete Video Balik?” – Hidayah

Menurut Zabetha, tindakan Ali yang memuat naik video mengenai penemuan barangan pelik di luar rumah arwah abangnya yang didakwa mempunyai unsur khurafat boleh dijadikan bukti pihak Hidayah memfailkan saman fitnah.

“Kalau dalam video itu, semua penonton faham gambaran dan penyampaian yang cuba disampaikan berkenaan bekas kakak iparnya.

“Adakah dia dapat menyokong dan membuktikan bahawa kenyataan tentang garam, daun itu sebagai sesuatu perbuatan yang dilakukan oleh bekas kakak iparnya dan dengan niat tertentu?

“Dalam video itu, cukup sekali lagi elemen-elemen bagi tuntutan saman fitnah iaitu terdapat tuduhan fitnah yang ditujukan dan merujuk kepada orang yang difitnah (bermakna kita tahu siapa yang dia rujuk itu) dan disampaikan pada pihak ketiga atau umum,” tulisnya.

Peguam itu turut menyifatkan tindakan Ali itu menjerat diri apatah lagi sebelum ini pernah disaman serta perlu membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM60,000 kepada kakak iparnya.

“Dia sudah pernah disaman. Dia sudah lalui proses di mahkamah. Dia sudah cukup tahu bagaimana Mahkamah memutuskan sesuatu perbuatan fitnah itu. 

“Dia pasti tahu elemen fitnah itu apa kerana telah sendiri melalui proses soal balas di mahkamah sewaktu perbicaraan.

“Kenapalah dibuat kesilapan itu berulang-ulang kali. Kan menjerat diri. Perbuatan fitnah ini, boleh dituntut mengikut jumlah kenyataan fitnah,” tulisnya.

“Video dimuatnaik telah dirakamkan dan dipadamkan tetapi telah dikongsikan oleh orang ramai. Kalau hendak buat sesuatu perkara. Pikir dahulu. Ada perkara elok berbincang sesama sendiri dan bukan dimuatnaik di media sosial dahulu,” tulisnya.