Kerajaan merancang mewujudkan lebih banyak kolam takungan banjir yang akan dilindungi secara kekal daripada sebarang pelupusan atau pembangunan pada masa depan bagi memperkukuh usaha mengurangkan risiko banjir kilat di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, cadangan itu akan dibincangkan menerusi pasukan petugas khas antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan Selangor.

“Kita perlu berbincang dengan kerajaan Selangor untuk mewujudkan lebih banyak kolam takungan banjir yang tidak akan dijual, sebaliknya dilindungi demi menjamin masa depan Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) berhubung jaminan supaya kawasan kritikal bagi tebatan banjir tidak lagi dikorbankan atas nama pembangunan.

Dalam perkembangan sama, Hannah memaklumkan sebanyak 16 kolam takungan setempat (OSD) sedang dan telah dibangunkan sebagai langkah mengurangkan risiko banjir kilat.

Daripada jumlah itu, sembilan telah siap sepenuhnya, lima dijangka siap dalam tempoh tiga tahun manakala dua lagi masih dalam pembinaan.

Menurut beliau, pemaju swasta serta DBKL turut diwajibkan membina OSD bagi menakung air hujan, dengan 65 kemudahan seumpama itu telah dibangunkan oleh pihak pemaju di sekitar Kuala Lumpur setakat ini.

“Pihak swasta, pemaju, DBKL juga disyaratkan (membina) OSD untuk menakung air hujan… ketika ini kita ada 65 OSD dibangunkan pemaju bagi menangani isu banjir kilat di Kuala Lumpur,” katanya.

Menjawab soalan asal, Hannah berkata DBKL tidak akan meluluskan permohonan kebenaran merancang di kawasan sekitar kolam takungan sehingga semua syarat teknikal yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan dipatuhi.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh tadbir urus dan memastikan pematuhan terhadap syarat pembangunan yang melibatkan infrastruktur tebatan banjir, termasuk keperluan di bawah Garis Panduan Pelan Kerja Tanah dan Garis Panduan Pelan Kejuruteraan.

“DBKL juga akan memperkasa kerjasama dan penyelarasan antara agensi bagi memastikan aset infrastruktur tebatan banjir diurus, diselenggara dan dipelihara dengan baik dan berfungsi.

“Mengenai status penggunaan tanah membabitkan kolam takungan banjir, ketika ini terdapat 28 kolam takungan masing-masing 13 seliaan DBKL dan 15 lagi di bawah kendalian JPS Kuala Lumpur.

“Ia memainkan peranan penting bagi mengurangkan risiko banjir di ibu kota dengan kerja penyelenggaraan terus dilaksanakan bagi memastikan kapasiti kolam sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya.

×