Hampir sekian lama kelibat dirinya tidak muncul di kaca televisyen, model dan pelakon sensasi Haneesya Hanee dikatakan sering dilabel netizen sebagai artis sendur.
Tidak mudah melatah dan tidak terkesan digelar sedemikian, Haneeysa berkata dia masih baru lagi dalam dunia lakonan dan baru membintangi beberapa buah drama, jadi gelaran artis sendu tidak sesuai untuknya.
BACA: Netizen Sokong Haneesya Hanee Bidas Penyokong Sajat
“Bagi saya, panggilan artis sendu tidak sesuai untuk saya, malah sedikitpun tidak terasa dengan panggilan yang diberi.
“Saya baru sahaja bertapak dalam industri seni, berapa kerat sangat drama yang dibintangi, jadi ia bukanlah gelaran yang sesuai ditujukan kepada saya. Lainlah, jika sudah lama saya berlakon,” katanya kepada BH Online.
Haneesya tertanya-tanya adakah disebabkan kontroversi menghimpit dirinya atau kemenangan Artis Baharu Wanita Popular di ABPBH tahun lalu punca syarikat produksi tidak berani mengambilnya kerana bimbang bersikap ‘demanding’.
Jelasnya, dia bukanlah seorang yang suka meletakkan harga kerana dia masih baharu lagi dalam dunia lakonan. Ujarnya, dia sangat meminati bidang lakonan sehingga hingga sanggup mengikuti kelas seni.
“Rezeki belum menyebelahi biarpun saya memenangi ABPBH, tahun lalu. Semakin kurang tawaran lakonan diterima. Mungkin produser takut saya meletakkan harga tinggi, tetapi saya tak mungkin bersikap sedemikian kerana saya tahu siapa diri saya.
Bagaimanapun, Haneesya tetap meluahkan rasa syukur rezeki dalam dunia peragaan masih tidak berhenti. Malah, dia juga turut menerima tawaran ulasan produk dan dua sumber pendapatan itu digunakan untuk menanggung keluarga.
Dalam pada itu, biarpun kebanyakan kontroversi yang tercetus bukan disengajakan, Haneesya berkata dia mahu 2020 menjadi tahun positif untuk menjaga nama dan kerjayanya.
“Kebanyakan kontroversi yang berlaku wujud secara tidak disengajakan. Sedikit kesalahan yang dilakukan, netizen suka membesarkannya hingga menjadi tular.
“Saya tak mahu menoleh ke belakang lagi, saya mahu mengurangkan kontroversi dan fokus kerja serta produk yang bakal dihasilkan,” kata Haneesya.