Lebih 272 koleksi dan item berkaitan Institusi Yang di-Pertuan Agong serta koleksi peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah akan dipamerkan pada Pameran Raja Kita di Muzium Negara bermula hari ini.
Pameran khas yang berlangsung sehingga 29 September itu antara lain turut mempamerkan koleksi regalia Persekutuan, koleksi peribadi Seri Paduka Baginda berdua, koleksi pinjaman dari Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Muzium Diraja Abu Bakar Johor.
Jangan tak tahu, di Pameran Raja Kita juga turut dipamerkan koleksi bersejarah seperti manuskip dan dokumen perjanjian berkaitan Institusi Raja daripada agensi lain termasuk Arkib Negara dan Perpustakaan Negara. Kali ini, korang sendiri boleh tengok secara terperinci manuskip tersebut. Bukan senang tau nak dapat pengalaman macam ni!
Lebih menarik lagi, elemen utama yang diketengahkan dalam pameran tersebut berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang ditandatangan dan diisytiharkan oleh Sultan Abu Bakar pada 14 September 1895 di Istana Besar Johor, katanya.
Untuk pengetahuan korang, Pameran Raja Kita di Galeri 1 dan 2 di Muzium Negara merupakan sebahagian daripada acara yang disusun sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung baru-baru ini.
Pameran khas itu dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fahmi merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A.Kasim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Bagi korang yang ingin melihat sendiri koleks Diraja, jangan lepas peluang untuk bawa seisi keluarga ke Muzium Negara hari ini. Kemasukkan adalah Percuma!
Sambil cuci mata tengok koleksi yang bersinar tu korang juga dapat menghayati Institusi Yang di-Pertuan Agong secara lebih terperinci.
*Foto: Jabatan Muzium Malaysia