fbpx

Pak Nil Dipilih Ikon Program ‘Townhall’ MADANI

Pengacara popular, Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil tidak menyangka dilantik sebagai ikon program Townhall MADANI dan Jelajah Ikon MADANI (IKON).

Memetik BH Online, Pak Nil berkata agak terkejut kerana pada awalnya beliau hanya berkongsikan pengalaman serta kisah hidup sebagai inspirasi buat golongan muda.

BACA: Berjaya Kumpul RM120,000, Pak Nil Jumpa Zamani Serah Sumbangan

“Ini mengejutkan kerana kehadiran saya hanya untuk kongsi pengalaman sewaktu bergelar pelajar, tapi selepas ceramah, mereka (pelajar) menjadikan saya sebagai ikon. Saya diberitahu ada siri jelajah selepas ini untuk saya bersama dengan pelajar dan golongan muda.

“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan sangat teruja bertemu anak-anak sebab pengalaman yang dikongsi tadi, hampir 90 peratus kalangan pelajar ini ada pengalaman yang hampir sama,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian program berkenaan oleh Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusof dan disertai kira-kira 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Pak Nil berkata beliau sememangnya berhasrat untuk memberikan motivasi bagi menaikkan semangat dan komitmen mahasiswa dalam usaha mencapai kejayaan. Pak Nil turut berkongsikan beliau bukan dari keluarga senang namun dengan pelajaran dapat keluar dari belenggu kemiskinan.

“Saya mahu generasi muda menyelami konsep MADANI yang dilaksanakan kerajaan dengan sebaiknya kerana di dalamnya menekankan nilai-nilai murni dan sesuai diamalkan dalam kehidupan untuk mencapai kejayaan.

“Saya mahu mereka (pelajar) memiliki adab dan tatasusila yang tinggi selain menghargai pergorbanan ibu bapa yang membesarkan kita. Saya bukan dari keluarga senang, tapi kita boleh bebaskan keluarga daripada dibelenggu kemiskinan dengan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Townhall MADANI merupakan program inisiatif J-KOM, Jabatan Perdana Menteri dan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dimana ianya berkonsepkan bual bicara menyasarkan pelajar baharu dan bakal graduan di IPT.