fbpx

“Otak Bising Sangat, Suruh Bunuh Orang”

Pelakon Janna Nick membuat luahan ketika bersiaran langsung di TikTok miliknya baru-baru ini dengan mendedahkan apa yang dirasakan dalam hidupnya serta tidak tahan mendengar suara-suara disebabkan gangguan bipolar dihidapinya.

Memetik Kosmo, Janna berkata dia bahagia namun merasakan ada masalah dengan diri sendiri dimana dia merasakan otaknya terasa sangat bising.

BACA: Janna Nick Akui Rancang Soal Zuriat, Nak Anak Zodiak Libra

“Saya bahagia,  tiada masalah. Cuma, ada masalah dengan diri sendiri. Otak saya bising sangat hari ini. Paling teruk yang saya hadapi,” katanya.

Teresak-esak menangis ketika sesi live itu, Janna berkata dia tidak tahan mendengar suara-suara memintanya melakukan pelbagai perkara termasuk membunuh.

Menurut Janna lagi, serangan dialaminya baru-baru ini adalah paling teruk sepanjang dua tahun disahkan menghidap bipolar disoder dan mungkin disebabkan perubahan pola tidurnya.

“Saya jalani penggambaran seperti biasa tapi balik lewat setiap hari sekitar pukul 7 atau 8 pagi. Ada hari saya tidur pukul 2 petang, jadi waktu tidur saya bercelaru. Mungkin otak saya tak boleh terima.

“Nak tidur enam jam tapi otak saya berperang. Dia (otak) paksa saya saya fikir benda-benda kritikal. Buat saya fikir macam mana nak bunuh orang, sorok mayat, lari daripada polis. Saya penat dan tak suka.

“Apabila bangun, saya fikir macam mana solar sistem berfungsi, macam mana elektrik berfungsi. Suara-suara itu sangat bising, cakap macam-macam sampai saya rasa benci dengan otak saya,” katanya.

Dalam pada itu, Janna berkata perkara itu tidaklah kerap berlaku namun jika ianya terjadi alunan zikir dan istighfar yang dialunkan tenggelam dalam suara-suara di telinganya.

“Saya bukan hari-hari begini tapi bila datang hari yang teruk, istighfar dan zikir tak dapat melawan suara-suara yang tengah bercakap dalam otak.

“Bayangkan nak berzikir, 10 suara dalam kepala pun nak bercakap juga, lagi kuat sampai nak hentak kepala di dinding.

“Penyakit bipolar yang saya alami ini sangat teruk. Ubat yang saya kena makan tiada kesan dan tak sesuai dengan kerja saya,” katanya.

Bagaimanapun, Janna berkata dia mengakui lega selepas meluahkan segala yang bersarang di hati ketika siaran langsung itu serta menitipkan pesanan supaya tidak memandang ringan dengan masalah mental.