fbpx

Ogy Ahmad Daud Tak Cukup Duit Langsai Hutang?

Semalam hangat diperkatakan penulis skrip teater komedi Korupsi Dewan Senandung iaitu Aloy Paradoks mendedahkan masih belum menerima baki tunggakan bayaran daripada penerbit, Fauziah Ahmad Daud walaupun pementasan teater itu selesai Mac lalu.

Enggan membiarkan isu tersebut menjadi spekulasi dikalangan netizen, Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy tampil mengakui kebenaran mengenai rungutan berkenaan dan memberi penjelasan sebenar tentan isu itu.

BACA: Ogy Ahmad Daud Pertikai Zamani Ke Final GV5

“Dalam hal ini saya mengaku masih belum menjelaskan bayaran semua orang kerana diuji dengan beberapa perkara kebelakangan ini termasuk wabak COVID-19 yang melanda negara kita.

“Selaku penerbit, saya sedang berusaha untuk selesaikan semua bayaran baki tertunggak. Cuma, sekarang usaha itu masih belum menyebelahi saya,” katanya kepada mStar Online.

Ogy menegaskan bukannya dia tidak membayar langsung sebaliknya 30 peratus bayaran sudah dibuat kepada Aloy dan Rayza Mukmin, penulis skrip teater berkenaan.

“Ini saya kena beritahu, bukan saya tak bayar langsung ya! Saya dah beri 30 peratus dan baki masih belum dilunaskan lagi kerana beberapa masalah yang tak dapat dielakkan.

“Saya tak pernah anggap mereka macam peminta sedekah kerana apabila sebut hutang semestinya wajib dibayar! Saya sedar mengenai hal itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ogy berkata dia belum bertemu dengan Aloy untuk membincangkan isu itu. Malah, ujarnya dia sudah menjangka dan tidak menghalang mana-mana pihak meluahkannya di media sosial.

Terdahulu, Aloy ada memuat naik status luahan perasaan kecewa menerusi Facebook kerana belum menerima bayaran daripada sebuah produksi. Meskipun tidak menyebut nama sesiapa, namun ada yang meneka individu yang dimaksudkan ialah Ogy Ahmad Daud.