fbpx

Noh Salleh Nafi Tuduhan Culik Anak Angkat

Penyanyi Noh Salleh akhirnya tampil membuka mulut mengenai dakwaan melarikan anak angkatnya iaitu Musa daripada bekas isterinya, Mizz Nina.

Menerusi temu bual bersama Melodi, Noh berkata tiada penculikan berlaku memandangkan Musa diambil dengan cara yang sah dan sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaganya.

BACA: Noh Salleh Perkenal Tunang Depan 500 Peminat

“Saya nak menyangkal mengenai cerita itu, tiada penculikan langsung. Saya diserahkan oleh ibu kandung (Musa) untuk menjaganya dengan rela hati. Amanah dia dapat dekat saya, bukannya ada perebutan tapi mengikut dokumen dan undang-undang. 

“Sekarang Musa memang di bawah jagaan saya, dia tengah gembira sekarang. Memang saya difitnah melalui kenyataan yang menyasar teruk. Saya perlu bersuara sebab tiada unsur penculikan langsung,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata dia sudah berusaha untuk berbincang dengan bekas isteri, Mizz Nina mengenai urusan penjagaan Musa, namun gagal.

“Kami sudah berusaha hubungi bekas isteri berhubung soal penjagaan Musa. Saya buang ego demi kepentingan Musa dan beri 150 peratus komitmen untuk duduk berbincang, namun tetap gagal.

“Saya juga sudah hubungi orang sekelilingnya, namun hasilnya tetap sama. Misi utama saya mahukan perdamaian dan kedua-dua pihak dapat jaga Musa dan curahkan kasih sayang kepadanya,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata dia tidak berniat untuk pisahkan Mizz Nina daripada Musa namun bersama-sama untuk membesarkan anak angkat mereka dalam suasana harmoni.

Terdahulu, media melaporkan anak seorang selebriti wanita dilarikan pembantu rumah warga asing dan kejadian itu didalangi bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan terkenal.