fbpx

Noh Salleh Belum Sedia Bersemuka Dengan Media

Bulan lalu, pasangan selebriti Mizz Nina dan Noh Salleh mengejutkan industri hiburan apabila mengumumkan mengenai perceraian mereka selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga.

Sudah hampir sebulan berpisah, bagaimanapun Noh masih belum bersedia ditemunual oleh media yang ingin bertemunya ketika di Konsert Havoc Midnight di Dataran Karnival Shah Alam pada Ahad lalu.

BACA: Selepas Muat Naik Foto Noh & Anak, Mizz Nina Kongsi Petikan Tentang Curang

Memetik Harian Metro, Noh yang hadir diiringi pengawal peribadi dan tidak menunggu di bilik khas disediakan untuk artis yang mengadakan persembahan. Penganjur konsert tersebut turut memberitahu Noh menolak untuk bersemuka dengan media.

Difahamkan, Noh tampil solo di atas pentas menyampaikan lagu popularnya seperti Aku Skandal, Kotak Hati dan Dugaannya serta lagu solonya, Bunga Di Telinga dan Angin Kencang.

Noh sempat berterima kasih kepada mereka yang hadir serta menyokong konsert berkenaan dan memberi sokongan kepadanya.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan menyanyi bersama. Ini juga antara proses untuk saya berpijak pada dunia nyata, di mana adakah saya berani mengadakan persembahan seorang diri tanpa kumpulan Hujan. Ternyata, anda semua memberi semangat kepada saya. Terima kasih,” katanya.

Dalam pada itu, Noh turut memohon maaf di atas kekurangan yang berlaku ketika di atas pentas serta menyifatkan ianya persembahan indah baginya.

“Saya meminta maaf atas kekasaran saya atas pentas. Saya tak sangka persembahan malam ini akan jadi gila seperti ini. Saya akan bawa pulang memori indah ini,” katanya.