fbpx

Niezam Zaidi, Pengarah & Pembantu Mengaku Miliki Dadah

Pelakon, pengarah dan penolongnya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini atas tuduhan memiliki dadah, Ahad lalu.

Memetik laporan Harian Metro, pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, pengarah, Mohd Latiff Zami, dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Berdasarkan pertuduhan, Niezam didapati memiliki 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis, manakala Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin didapati memiliki 0.3 gram dadah jenis Cannabis dan 0.38 gram Methamphetamine.

Mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Niezam dan Mohd Latiff diperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan ke atas Saiful Zaidrin, mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jumlah jaminan diringankan kerana ketiga-tiga tertuduh hilangan sumber pencarian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.