fbpx

Neelofa Terkejut Dilamar Jenama Fesyen Dunia Walau Sudah Berniqab

Selebriti dan usahawan popular, Neelofa mengakui terkejut dan terharu apabila masih ada jenama fesyen dunia yang mahu bekerjasama dengannya meskipun penampilannya sudah berbeza.

Memetik Media Hiburan, Neelofa berkata dia percaya dengan hubungan kerjasama dan sambutan dalam kalangan pengguna akan membawa kepada kolaborasi yang berterusan.

BACA: Pengguna Twitter Ini Dikecam Minta Neelofa Buka Niqab

“Terkejut juga apabila ada jenama yang masih sudi untuk bekerjasama. Namun, saya sendiri faham sekiranya mereka risau atau takut sesuatu produk itu tidak mendapat sambutan,” katanya.

Bagaimanapun, Neelofa berkata sekiranya mereka mahu menjalin kerjasama dengannya lagi mungkin kerana jenama tersebut menerima kesan positif.

“Cuma bagi mereka yang pernah bekerjasama dengan saya lebih tahu. Misalnya kalau saya kongsikan di media sosial mengenai produk yang diberi, mungkin ada kesan positif bagi mereka dan kerjasama itu berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Neelofa turut meluahkan rasa syukur apabila kebanyakan stesen televisyen dan produksi kini lebih bersifat terbuka.

“Saya rasa syukur dan bangga pada masa yang sama sebab di sisi lain, ia juga satu ruang dakwah. Maksudnya mungkin yang lihat akan lebih tahu mengenai penampilan seseorang wanita muslimah.

“Malah saya lebih rasa tersentuh apabila stesen televisyen masih mahu menerima saya seadanya. Misalnya program Nona bulan lalu selain projek terbaru saya dengan Astro,” katanya.